Oleh Azlan Muhammad Zain
BARISAN pemain Kelantan sememangnya mengharapkan ‘gelombang merah’
penyokong The Red Warriors dapat membangkitkan semangat pemain untuk
mengatasi Kedah pada perlawanan separuh akhir Piala Malaysia pusingan
kedua di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, malam ini.
Perancang tengah Kelantan, Mohd Badri Radzi berkata sokongan
kira-kira 20 ribu penyokong setia pasukan itu yang sentiasa memenuhi
stadium memberikan sesuatu yang istimewa kepada mereka dan menggerunkan
setiap pemain lawan yang bertandang.
“Kita memang mengharapkan sokongan peminat yang menjadi pemain ke-12 setiap kali kami beraksi di Kota Bharu pada musim ini sama ada di dalam saingan Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia,” katanya.
Pemain berusia 26 tahun itu menambah kebangkitan Kelantan ketika
membenam cabaran Selangor dengan keputusan 3-0 di Kota Bharu adalah
contoh terbaik betapa besarnya peranan yang mempengaruhi corak permainan
pemain Kelantan apabila mendapat sokongan dan kata-kata semangat
daripada penyokong.
Bekas ketua pasukan Kelantan itu berkata semua pemain nampak bersemangat dan bekerja keras ketika menjalani sesi latihan terakhir petang semalam.
“Seperti ketika menghadapi Selangor di peringkat suku akhir, kami juga menjalani latihan sepakan penalti sebagai persediaan sekiranya perlawanan berakhir dengan keputusan seri.
“Malah perlawanan ini boleh diibaratkan sebagai misi membalas
dendam kerana Kedah menyingkirkan kami di pusingan kedua Piala FA selain
menjadi pasukan tunggal yang menumbangkan Kelantan di dalam saingan
Liga Super musim ini,” tambahnya.
Mengenai perlawanan pusingan pertama di Kedah pada Rabu lalu, Mohd Badri berkata rentak Kelantan sedikit terjejas terutamanya di barisan tengah apabila seorang lagi pemain tengah, Mohd Shakir Shaari terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan pada minit kelapan permainan selain dua lagi pertukaran awal membabitkan dua tonggak pertahanan Azizi Mat Rose dan S. Subramaniam.
Azizi dan Subramaniam hampir pasti tidak dapat beraksi kerana
masih dibelenggu kecederaan namun skuad bimbingan B Sathianathan itu
akan mendapat kembali khidmat penyerang utama, Norshahrul Idlan Talaha
yang digantung dua perlawanan sebelum ini.
Artikel ini disiarkan pada : 2010/10/23
--- HARIAN METRO