KOTA BHARU - Selepas mempamerkan kebangkitan
menyingkirkan Kedah pada aksi separuh akhir kedua Piala FA, Selasa lalu,
kejaguhan Kelantan bakal teruji apabila melayan kunjungan pendahulu
Liga Super, Lions XII di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.
Bertemu skuad bimbingan V. Sudramorty, The Red Warriors tidak
mempunyai pilihan selain mencatatkan kemenangan pada perlawanan untuk
merapatkan jurang mata bagi mencerahkan peluang merebut kejuaraan liga
musim ini.
Perkara tersebut diakui sendiri oleh kapten pasukan, Mohd. Badri
Radzi yang menegaskan, tiga mata perlu diraih oleh pasukannya pada
perlawanan itu seandainya mahu meneruskan tekanan kepada wakil Singapura
yang mendahului carta liga ketika ini.
"Harapan kita untuk perlawanan ini ialah mencatatkan kemenangan bagi
merapatkan jurang mata. Walaupun mereka lebih tiga perlawanan, namun
kesempatan ini perlu digunakan sebaik mungkin pada pertemuan ini.
"Pertemuan ini menjanjikan aksi sengit, mereka pasti mahu menang di
sini untuk menjarakkan kedudukan dengan kita. Begitupun saya dan
rakan-rakan tidak akan memberikan laluan mudah buat mereka dan
memastikan kemenangan menjadi milik Kelantan," katanya ketika dihubungi
di sini, semalam.
Tambah Mohd. Badri, dia mahu rakan sepasukan memberikan komitmen sepenuhnya pada perlawanan tersebut.
Sementara itu, pengendali Kelantan Bojan Hodak berkata, meskipun
bakal turun tanpa beberapa tonggak yang menjalani penggantungan seperti
Daudsu Jamaluddin dan Mohammad Ghaddar, beliau tetap mempertaruhkan
barisan terbaik pada perlawanan itu.
"Berkemungkinan saya akan mempertaruhkan gandingan Mat Yo (Norshahrul
Idlan Talaha) dan Nor Farhan Mohammad untuk mengetuai jentera serangan
Kelantan," tegasnya.