SEPAKAN penalti bakal menjadi penentu pasukan mana yang bakal
mendakap Piala Sultan Ahmad Shah malam ini jika aksi 90 minit perlawanan
berakhir dengan keputusan seri.
Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Afendi
Hamzah memberitahu, tiada lanjutan masa tambahan akan dilaksanakan
sekiranya kedua-dua pasukan terikat pada 90 minit perlawanan.
"Tiada masa tambahan, sebaliknya pemenang akan ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti.
"Tiada sebarang mata juga diberikan kepada mana-mana pasukan yang
menang, sebaliknya aksi Sumbangsih ini lebih dilihat sebagai simbolik
pembuka tirai Liga Malaysia (Liga M) 2013," kata- nya pada sidang akhbar
di Kelana Jaya semalam.
Afendi memberitahu, aksi sulung Kelantan (menentang PKNS) dan ATM
(berdepan Lions XII) juga dilewatkan sehari berbanding pasukan lain
seperti mana yang ditetapkan FAM sebelum ini.
"Saya harap kedua-dua pasukan, terutamanya penyokong dapat
mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi ketika perlawanan itu nanti,"
katanya.
Ini merupakan kali ketiga Kelantan beraksi di pentas Sumbangsih
selepas muncul juara edisi 2011 (tewaskan Selangor 2-0) sebelum terpaksa
berpuas hati dengan gelaran naib juara apabila tumpas 1-2 kepada Negeri
Sembilan musim lalu.
ATM pula memburu Piala Sumbangsih buat kali pertama selepas muncul naib juara Piala Malaysia musim lalu.
Untuk rekod, aksi Piala Sumbangsih mempertemukan juara Piala Malaysia dan juara Liga Super sejak 2011.
Sebelum itu, ia membabitkan pemenang saingan liga dan Piala Malaysia
sejak diperkenalkan pada 1985 sebelum dirombak semula yang membabitkan
pemenang Piala Malaysia dan Piala FA pada 1993.
Selangor merupakan pasukan terbanyak mendakap Piala Sumbangsih iaitu lapan kali diikuti Perak dan Kuala Lumpur (tiga kali).