Tuesday, July 23, 2013

Mohd. Shahrizan mahu kembali jaga gawang Red Warriors

ARKIB : 22/07/2013
 
 KOTA BHARU - Penjaga gol The Red Warriors yang baharu pulih dari kecederaan, Mohd. Shahrizan Ismail bertekad untuk memikat hati pengendali Kelantan Bojan Hodak bagi membolehkannya kembali menggalas tugas mengawal benteng terakhir pasukan.

Mohd. Shahrizan atau lebih mesra dengan panggilan Mat Chah berkata, meskipun bakal berdepan saingan sengit daripada rakan sepasukannya, namun dia berazam memberikan aksi terbaik sepanjang sesi latihan menjelang saingan Piala Malaysia nanti.

"Saya mahu menggunakan peluang yang ada untuk mengembalikan semula reputasi untuk merebut semula tempat sebagai salah seorang penjaga gol terbaik Kelantan musim ini.

"Saya akui tugas ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana Kelantan mempunyai dua lagi penjaga gol hebat selain Apek (Khairul Fahmi Che Mat)," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Tambahnya, tahun ini dia langsung tidak diturunkan akibat kecederaan yang memaksanya berehat panjang, sehingga menyebabkannya tersisih daripada skuad utama The Red Warriors musim ini.
Selain Apek, Kelantan turut mempunyai dua lagi penjaga gol iaitu Mohd. Syazwan Yusoff dan Norhadi Ubaidillah.

Mat Chah memberitahu, kecederaan tersebut telah pulih sepenuhnya dan dia bersedia menggalas tugas sekiranya diberikan peluang.

"Bagaimanapun semuanya terpulang kepada ketua jurulatih. Apa pun selaku pemain saya perlu bekerja lebih keras bagi mendapatkan semula tempat dalam pasukan," ujarnya.

Tambahnya, kali terakhir dia beraksi bersama Kelantan ketika perlawanan persahabatan dengan T-Team di Kuala Terengganu bulan lalu.

Meskipun usianya kini sudah mencecah 34 tahun, namun Mat Chah tetap melaungkan keyakinan mampu menggalas tugas sekiranya diberikan kepercayaan.

 --- UTUSAN MALAYSIA