KOTA BHARU - Pengendali Kelantan, Bojan Hodak tidak akan terpengaruh
dengan perang saraf Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang positif mampu
bangkit pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan
Muhammad IV, malam ini.
Hodak sebaliknya mahu pemainnya memberi tumpuan penuh bagi
memastikan Kelantan mara ke pentas akhir buat kali ketiga dalam tempoh
empat tahun.
Justeru, beliau akan mempertaruhkan barisan terbaik bagi menyekat kebangkitan ATM.
Di sini bukan lagi kedudukan 50-50 (untuk menang) kerana kami
mempunyai sokongan yang kuat dan segala-galanya disebabkan Kota Bharu
adalah gelanggang kami, tetapi saya ingin tegaskan sebaik sahaja wisel
dibunyikan, kami akan menyerang habis-habisan.
Semua pemain kini berada pada tahap terbaik dan bebas daripada
kecederaan. Keadaan tersebut memudahkan tugas saya membuat perancangan
terbaik bagi menghadapi tentangan ATM," katanya kepada Utusan Malaysia,
semalam.
Hodak berkata, meskipun mempunyai kelebihan dua gol, pasukannya tetap turun dengan misi memburu gol awal.
Katanya, jaringan awal amat penting buat Red Warriors untuk menyekat sebarang kebangkitan ATM.
Selain memburu tiket akhir, kami mahu melunaskan hutang selepas
Kelantan dimalukan dengan kekalahan kepada ATM pada aksi liga April
lalu. Saya tidak mahu peristiwa 13 April itu berulang malam esok (ini).
Sudah pasti perlawanan ini akan berbeza, terutama apabila kedua-dua pasukan mahu mencari kemenangan untuk ke final," ujarnya.
Hodak bagaimanapun tetap menghormati ATM dan mahu pemainnya
berwaspada dengan taktikal yang bakal digunakan pihak lawan pada
perlawanan tersebut.
--- UTUSAN MALAYSIA