Saturday, October 26, 2013

ATM perlu elak buat silap

Penyerang Kelantan, Dickson Nwakaeme (tengah) menjalani latihan akhir di Kota Bharu semalam, sebelum menghadapi ATM pada separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini. - UTUSAN/ Irwan Majid 
 
KUALA LUMPUR - Pengalaman dan semangat tinggi beraksi di tempat sendiri menjadi tonik terbaik buat Kelantan untuk menamatkan sisa-sisa perjuangan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.

Bukan ATM tidak berhak, sebaliknya Kelantan cukup kebal setiap kali beraksi di gelanggang sendiri.
Kelantan dilihat berada di kemuncak prestasi, terutama selepas membelasah Johor Darul Takzim (Johor DT) 6-1 pada suku akhir kedua dan bekalan satu gol dari tempat lawan pasti memudahkan lagi laluan mereka untuk ke final

Penolong jurulatih T-Team dan bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar percaya, ATM sebenarnya bernasib baik hanya tewas 1-2 pada separuh akhir pertama.

Jika ATM masih berhajat mengulangi kemenangan 3-1 pada saingan Liga Super, 13 April lalu, dia menasihatkan The Gladiators agar mengurangkan kesilapan di bahagian tengah selain berwaspada dengan keupayaan serangan balas The Red Warriors.

''Pilihan saya sudah tentu Kelantan kerana mereka sentiasa dapat mempamerkan semangat yang tinggi di tempat sendiri.

''Sedangkan Johor yang menang 4-2 pada perlawanan pertama mampu dibelasah 6-1 di Kota Bharu, jadi saya fikir memang sukar buat ATM untuk mengatasi defisit kekalahan tempoh hari.

''Kelantan juga ada dua pemain yang akan memberi masalah kepada pertahanan ATM, Dickson Nwakaeme dan Mohd. Badhri Radzi," kata Azlan. 

Bagi ATM, Azlan melihat masih ada kualiti dalam skuad B. Sathianathan untuk bangkit dengan syarat mereka perlu menjaringkan gol awal bagi memberi tekanan kepada tuan rumah.

''ATM kena jaringkan gol terlebih dahulu dan jika itu berlaku, situasi permainan pasti berubah dan kita akan melihat satu aksi yang terbuka daripada kedua-dua pasukan.

''Namun ATM kena lebih bijak melakukan percaturan semasa menyerang dan tidak membiarkan ruang kosong di bahagian pertahanan kerana Kelantan ada pemain yang mempunyai skil individu hebat.

''Seperti Dickson, dia seorang sahaja mampu mengatasi tiga pertahanan lawan dengan mudah serta mampu melakukan serangan balas berseorangan," katanya.

Sementara itu, bekas jurulatih Perak dan Kedah, Mohd. Azraai Khor Abullah memilih Kelantan untuk melangkah ke pentas akhir dan mempertahankan kejuaraan.

''Mereka tidak terlalu bergantung kepada pemain tertentu untuk menjaringkan gol kerana pemain seperti Indra Putra, Norfarhan, Badhri, Dickson, Zairo Anuar Zailani dan Obinna sentiasa ada keupayaan menjaringkan gol pada bila-bila masa," katanya.

---  UTUSAN MALAYSIA