KOTA BHARU - Bekas pengendali Kelantan, Datuk M.
Karathu yakin The Red Warriors tidak akan menghadapi masalah untuk
mencatat kemenangan selesa ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada
separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad Ke IV di
sini, malam ini.
Biarpun meramalkan Kelantan mampu mencatat kemenangan 2-0, beliau
mengingatkan barisan pertahanan pasukan itu agar memberi perhatian
kepada kedua-dua pemain sayap ATM yang sentiasa bergerak laju bagi
membuka ruang kepada penyerang berbisa mereka, Marlon Alex James.
Justeru beliau berkata, Kelantan perlu memastikan mereka mengekalkan rentak yang seimbang antara bertahan dan menyerang.
"Saya tidak mahu menafikan kekuatan yang dimiliki ATM, mereka juga
sebuah pasukan yang baik, namun saya berpendapat Kelantan mempunyai
kelebihan pada perlawanan ini terutama apabila perlawanan penting ini
berlangsung di gelanggang mereka.
"Barisan pertahanan Kelantan perlu bekerja keras, mereka tidak boleh
lalai. Marlon cukup berbahaya dan perlu diberi perhatian seperti di
Selayang. Tempoh hari walaupun dijaga rapi, dia masih berjaya mencuri
kesempatan melakukan percubaan ke gawang Kelantan," katanya.
Karathu berkata, pada separuh akhir pertama, kesilapan utama ATM
ialah pertahanannya terlalu memberi perhatian kepada penyerang import
Kelantan, Dickson Nwakaeme sehingga mengabaikan Mohd. Badhri Radzi,
Indra Putra Mahayuddin dan Nor Farhan Muhammad.
Katanya, kelemahan utama ATM ialah pertahanan mereka gagal menyerap
tekanan dan kelam-kabut ketika bola berada di hadapan gawang.
''Namun kehadiran Nwakaeme juga antara faktor yang memberi kelebihan
kepada Kelantan kerana pemain tersebut amat kuat dan memiliki kebolehan
mengawal bola untuk membuka ruang kepada pemain lain menjaringkan gol.
"Saya meramalkan Kelantan akan menang 2-0, namun pemain Kelantan
tidak boleh lalai kerana ATM sudah semestinya akan menyerang
habis-habisan untuk memastikan mereka menang," katanya.