Friday, February 20, 2015

Kafa Bayar Gaji Pemain Tepat Pada Masa - Annuar Musa


KUALA LUMPUR, 18 Feb (Bernama) -- Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) tidak pernah mempunyai sebarang tunggakan gaji dengan mana-mana pemain termasuk pemain import, kata presidennya Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata gaji semua pemain skuad The Red Warriors dibayar tepat mengikut masa.

"...yang mungkin ada ialah wang penamatan kontrak yang mana saya tidak boleh komen kerana itu tahun lepas dan mungkin ada, sewaktu saya dalam penggantungan," kata beliau dalam catatan di laman Facebooknya Rabu.

Kenyataan di Facebook Annuar itu, dipercayai bagi membalas kenyataan bekas pemain import Kelantan dari Nigeria, Obinna Nwaneri baru-baru ini yang mendakwa KAFA mempunyai tunggakan gaji dianggarkan berjumlah RM270,000 akibat penamatan kontraknya lebih awal daripada tempoh sebenar.

Pemain itu yang kini beraksi bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ketika ditemubual sebuah televisyen swasta, turut dilaporkan tidak teragak-agak untuk membawa kes berkenaan ke pengetahuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sekiranya KAFA gagal menyelesaikan masalah tersebut.

Untuk rekod, Obinna beraksi bersama Kelantan dari 2012 hingga 2014.

Annuar sebelum ini, digantung 30 bulan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM selepas didapati bersalah membuat kenyataan akhbar bersifat negatif mengenai skuad bola sepak negara, yang melanggar Artikel 88, Statut FAM edisi 2010-2014, yang kemudiannya dimansuhkan oleh FAM.



-- BERNAMA