Saturday, February 21, 2015

Kelantan Perlu Awasi Ali Ashfaq Dan Mohamadou Sumareh - Azman Ibrahim


KOTA BAHARU, 20 Feb (Bernama) -- Kelantan perlu mengawasi barisan pemain import Polis DiRaja Malaysia (PDRM) apabila kedua-dua pasukan itu bertemu dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, malam esok.

Pengurus Kelantan Azman Ibrahim berkata dua pemain import PDRM iaitu Ali Ashfaq dan Mohamadou Sumareh perlu dikawal rapi sekiranya The Reds Warriors (TRW) mahu terus mengekalkan rentak kemenangan.

"Dua pemain ini perlu diawasi dengan baik dan kita tidak boleh melakukan kesilapan sehingga mereka boleh menghasilkan jaringan, pemain perlu fokus dalam perlawanan tersebut.

"Pemain jangan merasa selesa meskipun telah mencatat dua kemenangan berturut-turut kerana mereka perlu memberi perhatian serius pada perlawanan ini," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata kejayaan PDRM menewaskan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada Sabtu lepas merupakan kejutan dalam liga.

"PDRM boleh menjadi pencabar dalam senyap walaupun media tidak fokus kepada PDRM tetapi mana-mana pasukan yang berjaya menewaskan JDT adalah satu pasukan yang perlu kita awasi," katanya.

Azman berkata beliau berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan tiga pemain import Kelantan iaitu Erwin Carrillo dari Colombia, Isaac Pupo (Liberia) dan Jonathan McKain (Australia).

"Kombinasi di antara pemain saya nampak semakin baik, namun kita masih belum diuji sepenuhnya dan saya pasti banyak pasukan akan cuba mengatasi kita bila-bila masa.

"Saya juga pasti PDRM akan mengkaji corak permainan kita selepas dua perlawanan dan mereka akan cuba sedaya upaya untuk sekurang-kurangnya membawa satu mata. Bagaimanapun kita (Kelantan) mahukan tiga mata pada perlawanan ini," katanya.

Beliau berkata kemenangan di awal musim amat diperlukan bagi mengekalkan momentum pasukan untuk terus menggapai kejuaraan.

"Memang kemenangan diperlukan untuk mengekalkan momentum, namun pemain tidak boleh merasa selesa, kita perlu sentiasa membaiki kesilapan untuk menjadi lebih mantap," katanya.

Kelantan kini berada di kedudukan pertama dengan mengumpul enam mata dalam Liga Super selepas mencatatkan kemenangan 2-0 masing-masing ke atas pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Lions XII.

-- BERNAMA