Saturday, February 21, 2015

Kelantan Mahu Terus Kekalkan Rentak Kemenangan - Kapten


KOTA BAHARU, 19 Feb (Bernama) -- Selepas dua kemenangan dan mengungguli persada Liga Super minggu lepas, Kelantan berazam mahu mengekalkan rentak kejayaan apabila menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, Sabtu ini.

Kemenangan 2-0 masing-masing ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Lions XII dalam saingan awal musim telah menguatkan azam pasukan The Red Warriows (TRW) itu untuk mengekalkan momentum menang.

Kapten TRW, Mohd Badri Mohd Radzi berkata pasukannya mempunyai kelebihan mengutip tiga mata penuh apabila melayan kunjungan pendatang baharu liga, PDRM, di gelanggang sendiri.

"Kita harap penyokong akan datang beramai-ramai memberi semangat," katanya ketika dihubungi di Kota Baharu, Khamis.

Beliau mahukan barisan penyerang pasukannya supaya menggunakan peluang yang ada dengan sebaik mungkin dan tidak mensia-siakan peluang seperti yang berlaku ketika menentang Lions XII, Ahad lepas.

Mohd Badri memberi amaran bahawa PDRM bukan calang-calang pasukan selepas pasukan itu mampu mengejutkan pasukan berstatus bintang, Johor Darul Ta'zim (JDT) 1-0, Sabtu lepas.

"Saya percaya semua pasukan dalam Liga Super muism ini mampu memberi saingan sengit dan oleh itu kita perlu sentiasa berwaspada dan tidak memandangkan remeh mana-mana pasukan lawan," katanya.

Mohd Badri berkata pasukannya perlu mengawal ketat dua pemain import pasukan PDRM iaitu Ali Ashfaq dan Mohamadou Sumareh.

"Dua pemain itu amat berbahaya dan mereka juga mempunyai pemain kebangsaan seperti Mohd Afif Amiruddin dan Mohd Muslim Ahmad yang berpengalaman selain Nurul Azwan Roya," katanya.

--BERNAMA