SHAH ALAM - Penyerang Kelantan dan kebangsaan Norshahrul Idlan Talaha
mempertahankan gelaran Pemain Paling Bernilai pada Anugerah Bola Sepak
Kebangsaan 2011 yang dimenanginya tahun lalu, selain merangkul Anugerah
Penyerang Terbaik.
Pemain berasal dari Besut itu mengejutkan calon pilihan Khairul Fahmi
Che Mat dan arkitek tengah skuad kebangsaan, Safiq Rahim bagi anugerah
yang lebih dikenali sebagai Anugerah Supermokh tahun ini.
Seperti tidak percaya mampu memenangi gelaran yang sama ekoran kurang
banyak beraksi pada pentas antarabangsa kerana masalah kecederaan,
Norshahrul atau lebih dikenali sebagai Mat Yo gembira di atas
pemilihannya.
"Saya terkejut dengan kemenangan ini kerana saya rasa rakan
sepasukan, Apek (Khairul Fahmi Che Mat) akan menang, kerana dia lebih
banyak beraksi pada peringkat kebangsaan dan Kelantan.
"Namun, saya bersyukur kerana mampu mempertahankan kemenangan tahun lalu.
"Saya berazam untuk mengekalkan prestasi sama pada musim hadapan
terutama bersama skuad kebangsaan bagi cuba mempertahankan kejuaraan
Piala AFF dan Kelantan yang akan beraksi dalam Piala AFC , " katanya,
yang turut menujukan kemenangan itu kepada isterinya.
Trofi kemenangan disampaikan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa.
Turut hadir Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin dan Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad.
Panel pemilihan pemain terbaik bagi setiap kategori terdiri daripada
28 jurulatih Liga Malaysia yang membimbing pasukan Liga Super dan Liga
Perdana manakala Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM menjadi penilai
pemenang kategori Persatuan Bola Sepak dan Kelab Terbaik.
--- UTUSAN MALAYSIA