Showing posts with label Ferris Daniel Mat Nasir. Show all posts
Showing posts with label Ferris Daniel Mat Nasir. Show all posts

Saturday, February 7, 2015

KAFA Perlu Peruntukan Lebih RM10 Juta Tahun Ini - Annuar Musa


KOTA BAHARU, 4 Feb (Bernama) -- Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) memerlukan peruntukan lebih RM10 juta untuk menampung perbelanjaan mengurus pasukan itu musim ini.

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata peruntukan itu diperlukan bagi memastikan pasukan The Reds Warriors (TRW) kekal kompetitif dan sentiasa memberi saingan kepada pasukan lain.

"Kami menerima penajaan daripada 23 syarikat musim ini, merangkumi 11 penaja utama dan 12 rakan perniagaan. Saya dapati jumlah penajaan setakat ini hanya mampu menampung 50 peratus kos operasi pasukan.

"Kos pengurusan dan membawa pemain yang berkualiti ke pasukan ini membabitkan kos yang tinggi, kami beranikan diri demi menghidupkan cabaran pasukan Kelantan dalam liga," katanya kepada pemberita selepas majlis memperkenalkan penaja dan pelancaran jersi TRW 2015 di sini hari ini.

Annuar berkata semua pihak perlu memainkan peranan bagi mendapatkan dana untuk menampung perbelanjaan pasukan musim ini.

Sementara itu, KAFA membuka peluang kepada Felda United untuk berunding mengenai status penyerang Harimau Muda, Muhammad Ferris Daniel Mat Nasir.

Annuar berkata jawatankuasa pengurusan KAFA yang bermesyuarat telah memutuskan mengambil ketetapan bahawa tonggak Harimau Muda itu sah milik TRW.

"Ferris sah milik Kelantan seperti yang telah diputuskan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini dan kami akan memaklumkan kepada FAM mengenai kedudukan terkini status pemain berkenaan.

"Kami membuka ruang kepada pihak berkenaan sekiranya mereka berminat untuk mendapatkan khidmat pemain itu, mereka boleh datang untuk berbincang dengan KAFA dan kami sedia menerima kunjungan mereka," katanya.

Pemain itu dikhabarkan telah menandatangani kontrak bersama Felda United meskipun Kelantan telah mengumumkan bahawa penyerang Harimau Muda itu ada dalam perancangannya musim ini.

-- BERNAMA

Friday, February 6, 2015

Kafa adakan mesyuarat selesai isu Ferris

Wartawan Sinar Harian
4 Februari 2015

Annuar Musa

KONTROVERSI melibatkan penyerang Harimau Muda, Muhammad Ferris Danial Mat Nasir yang menjadi rebutan Kelantan dan Felda United bakal dinoktahkan selepas Jawatankuasa Pengurusan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mengadakan mesyuarat hari ini.

Perkara ini disahkan Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa ketika ditemui pemberita pada majlis Pelancaran Pemain Bola Sepak Belia Kelantan 2015 di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Kelantan, semalam.

Menurut Annuar, pihaknya juga akan memanjangkan pendiriannya berhubung isu Ferris kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Kita tidak boleh tarik balik tandatangan Ferris. Cuma, apa boleh saya nyatakan sijil pemain itu ada dalam simpanan Kafa.

"Secara automatiknya, Ferris milik Kelantan," katanya.

Beliau juga menegur sikap pengurusan The Fighters yang mengadakan perbincangan tanpa merujuk kepada badan induk dinaunginya, Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA).

"Sepatutnya mereka perlu berunding melalui badan yang dinaunginya (KLFA) dengan Kafa. Malangnya, banyak kelab dan persatuan tidak menghormati peraturan ini," katanya.

Sebelum ini, Annuar memberitahu Kafa sudah menghantar dua surat kepada FAM berhubung isu Ferris tidak melapor diri bersama pasukan dan bertegas tidak berhasrat melepaskan pemain itu ke pasukan lain.

--- SINAR HARIAN