Friday, February 6, 2015

Kafa adakan mesyuarat selesai isu Ferris

Wartawan Sinar Harian
4 Februari 2015

Annuar Musa

KONTROVERSI melibatkan penyerang Harimau Muda, Muhammad Ferris Danial Mat Nasir yang menjadi rebutan Kelantan dan Felda United bakal dinoktahkan selepas Jawatankuasa Pengurusan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mengadakan mesyuarat hari ini.

Perkara ini disahkan Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa ketika ditemui pemberita pada majlis Pelancaran Pemain Bola Sepak Belia Kelantan 2015 di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Kelantan, semalam.

Menurut Annuar, pihaknya juga akan memanjangkan pendiriannya berhubung isu Ferris kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Kita tidak boleh tarik balik tandatangan Ferris. Cuma, apa boleh saya nyatakan sijil pemain itu ada dalam simpanan Kafa.

"Secara automatiknya, Ferris milik Kelantan," katanya.

Beliau juga menegur sikap pengurusan The Fighters yang mengadakan perbincangan tanpa merujuk kepada badan induk dinaunginya, Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA).

"Sepatutnya mereka perlu berunding melalui badan yang dinaunginya (KLFA) dengan Kafa. Malangnya, banyak kelab dan persatuan tidak menghormati peraturan ini," katanya.

Sebelum ini, Annuar memberitahu Kafa sudah menghantar dua surat kepada FAM berhubung isu Ferris tidak melapor diri bersama pasukan dan bertegas tidak berhasrat melepaskan pemain itu ke pasukan lain.

--- SINAR HARIAN