Showing posts with label Mohd Ramadhan Abd Hamid. Show all posts
Showing posts with label Mohd Ramadhan Abd Hamid. Show all posts

Wednesday, March 30, 2016

Devan asah sengat



Ilijoski (kiri) dan Lucca (tengah) perlu bijak memanfaatkan tempoh rehat tiga minggu depan dengan membentuk gandingan mantap bersama pemain tempatan.

K Devan memanfaatkan tempoh rehat selama tiga minggu dengan mempertajamkan ‘sengat’ jentera penggempur skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warriors sebelum saingan Liga Super bersambung, pada 5 April depan.

Pengendali Kelantan itu percaya, jentera penyudah mereka akan keluar daripada krisis kegagalan meletakkan bola ke dalam jaring pasukan lawan menjelang pertemuan menentang Terengganu FC (TFC) di Kuala Terengganu, nanti.

Ketika ini, Blazhe Ilijoski tampil selaku penjaring terbanyak apabila meledak empat gol dan Dramane Troare (satu gol), namun itu belum cukup menggembirakan penyokong Kelantan yang rata-rata cukup ‘bengang’ dengan prestasi dua penyerang import itu.


Perubahan positif

DEVAN membayangkan satu perubahan positif berlaku di bahagian serangan terutama selepas tiga pemain import baharu iaitu Blazhe Ilijoski, Dramane Troare dan Jonatan Lucca mempunyai masa secukupnya mengenali perwatakan rakan-rakan dalam pasukannya.
 
“Sebelum liga bermula Januari lalu, tiga pemain import baharu itu hanya sempat berlatih bersama pasukan lebih kurang dua minggu tetapi saya rasa situasi sekarang sudah jauh berubah.

“Ketika itu, jadual perlawanan sangat padat, tak banyak yang boleh kita lakukan tetapi Ilijoski, Lucca dan Troare kini mempunyai banyak masa memperbaiki kelemahan mereka,” katanya.


Rehat beri untung

BEKAS pengendali Negeri Sembilan itu, turut menyifatkan tempoh rehat itu memberi keuntungan kepadanya untuk memperbaiki kelemahan pasukan selepas kali terakhir menewaskan Pulau Pinang 3-1 di Kota Bharu, 12 Mac lalu.

“Saya kini fokus untuk meningkatkan kondisi fizikal beberapa pemain yang masuk lewat ke dalam pasukan ini. Mungkin sesetengah jurulatih merasakan rehat lama akan menjejaskan momentum pasukan, konsentrasi pemain akan hilang, saya tidak nafikan perkara itu.

“Tetapi saya fikir ia memberi kelebihan kepada kita. Semasa cuti rehat ini, saya boleh menilai prestasi keseluruhan pemain, paling penting saya dapat tumpukan proses meningkatkan persefahaman, kombinasi dan taktikal yang lebih terperinci untuk pasukan,” katanya.



Uji pemain muda

DALAM masa sama, dia turut melihat dua aksi persahabatan iaitu menentang Kuantan FA, di Kuantan, malam kelmarin disusuli Perlis di Kangar, pada 29 Mac ini, memberi kesempatan terbaik untuk dia menguji beberapa pemain muda.

“Ya, Apex (Khairul Fahmi Che Mat) tiada, saya boleh cuba Mohd Shahrizan (Ismail) dan Mohd Ramadhan (Abd Hamid) di posisi penjaga gol. Begitu juga tempat Wan Zack Haikal (Wan Noor), ada Mohd Qayyum (Marjoni Sabil) di situ untuk diuji.

“Norhafiz Zamani (Misbah) pun sudah lama tidak beraksi, dia paling layak untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Brendan (Gan) yang kini mempunyai tugasan bersama skuad kebangsaan,” katanya.


--- SINAR HARIAN

Thursday, November 26, 2015

Tiga Pemain Harimau Muda B Kembali Ke Kelantan



KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Tiga pemain kelahiran Kelantan yang beraksi bersama skuad Harimau Muda B (B-22) dalam Liga Singapura, akan menyarung jersi skuad The Red Warriors pada saingan Liga Malaysia, musim depan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan, Tan Sri Annuar Musa berkata tiga pemain berkenaan adalah penyerang Syahrul Azwari Ibrahim, pemain tengah Mohd Faris Shah Rosli dan penjaga gol Mohd Ramadhan Abd Hamid.

Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam, mengesahkan program Harimau Muda yang diperkenalkan sejak 2007, dibubarkan setelah mendengar cadangan daripada Pasukan Petugas Khas FAM yang dipengerusikan Timbalan Presiden badan induk itu, Datuk Abdul Mokhtar Ahmad.

Berikutan keputusan itu, kesemua pemain Harimau Muda B dan Harimau Muda C (B-19), yang masing-masing dikendalikan Razip Ismail dan Hassan Sazali Mohd Waras, perlu kembali ke negeri kelahiran masing-masing.

Pencapaian terbaik skuad Harimau Muda B adalah menjuarai Piala Emas Bangabandhu di Bangladesh, Februari lepas, manakala tiada pencapaian membanggakan diraih skuad Harimau Muda C dalam Liga FAM, musim ini.

-- BERNAMA