Showing posts with label Syahrul Azwari Ibrahim. Show all posts
Showing posts with label Syahrul Azwari Ibrahim. Show all posts

Sunday, January 31, 2016

FAM Arah Syahrul Azwari Kembali Ke Kelantan


KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengarahkan bekas pemain skuad Harimau Muda B, Syahrul Azwari Ibrahim yang sudah menandatangani kontrak dengan Sarawak musim ini, perlu kembali ke negeri kelahirannya, Kelantan.

Jawatankuasa Status FAM yang bersidang hari ini, memutuskan Syahrul Azwari perlu kembali ke Kelantan memandangkan karier bola sepak pemain berkenaan bermula di negeri Pantai Timur itu.

FAM memaklumkan pemain berusia 23 tahun itu perlu berbincang dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dalam tempoh tujuh hari mulai hari ini, sekiranya KAFA masih berminat menggunakan khidmatnya.

"Bagaimanapun, Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) boleh mengadakan perbincangan secara rasmi dengan KAFA dalam masa tujuh hari dari tarikh terma keputusan diterima jika masih berhasrat mendapatkan khidmat pemain," demikian menurut FAM dalam kenyataan di sini hari ini.

Susulan keputusan tersebut, badan induk bola sepak negara itu menjelaskan kontrak yang ditandatangani Syahrul Azwari bersama FAS pada Disember 2015, terbatal memandangkan kedua-dua pihak tidak mengikuti tatacara pelepasan pemain yang ditetapkan.

Timbalan Presiden FAM Datuk Seri Afandi Hamzah sebelum ini, dilaporkan sebagai berkata bahawa pemain skuad Harimau Muda, yang sudah dibubarkan, perlu kembali ke negeri kelahiran masing-masing.

KAFA, sebelum ini membuat aduan kepada Jawatankuasa Status FAM selepas mendakwa FAS enggan melepaskan pemain berasal dari Tanah Merah, Kelantan itu yang dilaporkan sudah menandatangani kontrak dengan mereka.

-- BERNAMA

Thursday, November 26, 2015

Tiga Pemain Harimau Muda B Kembali Ke Kelantan



KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Tiga pemain kelahiran Kelantan yang beraksi bersama skuad Harimau Muda B (B-22) dalam Liga Singapura, akan menyarung jersi skuad The Red Warriors pada saingan Liga Malaysia, musim depan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan, Tan Sri Annuar Musa berkata tiga pemain berkenaan adalah penyerang Syahrul Azwari Ibrahim, pemain tengah Mohd Faris Shah Rosli dan penjaga gol Mohd Ramadhan Abd Hamid.

Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam, mengesahkan program Harimau Muda yang diperkenalkan sejak 2007, dibubarkan setelah mendengar cadangan daripada Pasukan Petugas Khas FAM yang dipengerusikan Timbalan Presiden badan induk itu, Datuk Abdul Mokhtar Ahmad.

Berikutan keputusan itu, kesemua pemain Harimau Muda B dan Harimau Muda C (B-19), yang masing-masing dikendalikan Razip Ismail dan Hassan Sazali Mohd Waras, perlu kembali ke negeri kelahiran masing-masing.

Pencapaian terbaik skuad Harimau Muda B adalah menjuarai Piala Emas Bangabandhu di Bangladesh, Februari lepas, manakala tiada pencapaian membanggakan diraih skuad Harimau Muda C dalam Liga FAM, musim ini.

-- BERNAMA