Saturday, October 19, 2019

KAFA runding dengan Gomis selesai isu tunggakan gaji

Tarikh kemaskini: 16/10/2019

Margaro Gomis kanan semasa bersama Kelantan, Gambar Berita Harian

KOTA BHARU, 16 Okt -- Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) sedang berunding dengan Margaro Gomis berhubung isu tunggakan gaji susulan tindakan saman dikemukakan bekas pemain import itu terhadap persatuan berkenaan di mahkamah kira-kira dua bulan lepas.

Setiausaha Agung KAFA, Husin Deraman berkataM isu tersebut perlu diselesaikan segera berikutan tuntutan saman daripada pemain kelahiran Perancis itu memberi kesan kepada permohonan lesen yang dikemukakan oleh KAFA untuk bersaing dalam Liga Malaysia (Liga-M) 2020.

"Gomis telah mengemukakan saman sebanyak RM540,000 di atas kegagalan pihak pengurusan KAFA terdahulu membayar tunggakan gajinya.

"KAFA kini sedang berunding dengan pemain tengah itu untuk membayar sebahagian daripada jumlah tuntutan tersebut sebagai jalan penyelesaian bagi mematuhi kriteria pelesenan kelab FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia)," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, hari ini.

Husin berkata, selain rundingan dengan pemain itu dan aspek pelesenan kelab, isu gaji pemain lain serta pihak pengurusan turut menjadi agenda pada mesyuarat KAFA semalam.

"Kami membuat keputusan untuk menyelesaikan tunggakan gaji (pemain dan pengurusan) selewat-lewatnya 28 Okt ini," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga akan menyelesaikan sebahagian tunggakan pembayaran kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang menjadi antara sebab pelesenan kelab mungkin digantung.

-- BERNAMA