Wednesday, April 29, 2015

Amiridzwan Taj Mampu Perkuat Pertahanan Kelantan - Azraai


KOTA BAHARU, 28 April (Bernama) -- Jurulatih Kelantan Mohd Azraai Khor Abdullah yakin kehadiran Amirizdwan Taj Tajuddin akan dapat memperkuatkan lagi barisan pertahanan pasukan itu.

Beliau berkata bekas pemain Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu mempunyai pengalaman yang luas serta fizikal mantap untuk mengemudi bahagian pertahanan The Red Warriors (TRW).

"Dia (Amiridzwan) seorang pemain yang bagus dan mempunyai pengalaman luas dan juga pernah beraksi bersama skuad kebangsaan sebelum ini.

"Kehadirannya memberi kelebihan kepada saya untuk menyediakan ramuan terbaik buat pasukan, harapan saya agar Amirizdwan dapat mempamerkan aksi terbaik bersama pasukan baharu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Akhbar tempatan hari ini melaporkan Kelantan membawa masuk Amiridzwan Taj bagi memperkuatkan pasukan itu untuk mengharungi baki saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa berkata pihaknya akan mendaftar pemain berusia 29 tahun itu hari ini.

Selepas sembilan perlawanan Liga Super musim ini, Kelantan berada di tangga kesembilan dengan 10 mata, selepas mencatat tiga kemenangan dan satu seri.

-- BERNAMA