Thursday, January 11, 2001

Sivaram sah sertai Kelantan

ARKIB : 10/01/2001

BEKAS pemain Selangor dan kebangsaan, S. Sivaram disahkan akan mewakili Kelantan pada Liga Perdana Satu musim ini.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Amatur Kelantan (Kafa), Othman Zakaria berkata pemilihan Sivaram bertujuan mengisi barisan perancang yang masih kosong.

"Pemilihan Sivaram juga dipersetujui oleh jurulatih K Rajagopal yang pernah membimbing pemain itu ketika bersama Selangor,'' katanya di Kota Bharu, semalam.

Ketika ini Kelantan memiliki tujuh pemain import dari negeri lain iaitu Mohd Sani Fahmi, Rizal Zamri Yahya, Nazree Tee Abdullah, Wan Ahmad Redzuan, Rosli Omar, Armin Syariff dan Anuar Abu Bakar.

Othman berkata Rajagopal ditugaskan untuk mencari pemain sekiranya masih diperlukan untuk memantapkan lagi pasukan itu.

Katanya Kafa juga sedang mengatur beberapa perlawanan persahabatan dengan pasukan-pasukan yang bertanding pada Liga Perdana Satu musim ini.

Dalam perkembangan lain, Othman berkata pihaknya belum menerima surat tawaran rasmi daripada Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBSMK) bahawa Kelantan mungkin boleh menggunakan khidmat pemain pasukan negeri untuk kejohanan Piala Emas Raja-Raja pada 5 hingga 11 Februari depan.

Kafa bersedia melepaskan pemain untuk beraksi pada perlawanan itu, di samping mengukur prestasi pemain muda, katanya. - Bernama

--- UTUSAN MALAYSIA