Thursday, August 23, 2001

Kelantan tempat ketiga

ARKIB : 22/08/2001
 Rajagobal (Jurulatih Kelantan)

KELANTAN mengesahkan tempat ketiga dalam bola sepak Liga Perdana Satu selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas Sarawak dalam aksi terakhir liga di Stadium Sultan Mohd. Ke-IV, Kota Bharu, semalam.
Kejayaan anak buah K. Rajagopal itu membolehkan mereka merangkul habuan RM75,000 dan insentif RM20,000.
Sarawak biarpun tewas, menjadi pasukan terakhir dari Perdana Satu layak ke pertandingan Piala Malaysia secara automatik selepas Kuala Lumpur dan Melaka turut gagal dalam perlawanan terakhir masing-masing.
Kuala Lumpur seri 3-3 dengan Negeri Sembilan di Seremban manakala Melaka seri 1-1 dengan Selangor di Stadium Kubu.
Begitupun, Kuala Lumpur dan Melaka masih berpeluang ke Piala Malaysia tetapi perlu mengharungi playoff bersama Johor dan pasukan tangga keempat hingga kesembilan dari Perdana Dua.
Dua gol berharga Kelantan dijaringkan oleh Mohd. Hardi Ahmad minit ke-26 dan Annuar Abu Bakar (56).
Di Stadium Kubu, Mohd. Amri Yahyah menjaringkan gol pembukaan Selangor minit ke-15 tetapi Aizal Lamin menyamakan kedudukan untuk Melaka minit ke-56.
Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Azrine Effandy menjaringkan dua gol minit ke-20 dan 60 dan K. Sathian (70) menambah gol ketiga untuk pasukan tuan rumah tetapi Kuala Lumpur membalas dengan tiga gol menerusi Liew Kim Tu (31) dan Zulkifli Affendy (87, 89).
Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Pulau Pinang yang telah ditabal selaku juara liga, menewaskan Terengganu 1-0 hasil jaringan Zailani Jaafar (10).
Perak dan Perlis sekadar bermain untuk seri tanpa jaringan di Stadium Perak, Ipoh manakala Johor yang tergelincir ke Perdana Dua musim depan, dibelasah Pahang 4-0 di Stadium Larkin, Johor Bahru.
Gol-gol Pahang dijaringkan oleh Jalaluddin Jaafar (41), Ahmad Shahruddin Rosdi (54, 63), Khairulnizam Haniff (69).

--- UTUSAN MALAYSIA