KELANTAN sudah melupakan terus sejarah pahit musim lalu apabila tewas
1-3 kepada Negeri Sembilan pada final dan kejayaan menjadi naib juara
Piala Malaysia.
Kini, mereka tampil dengan semangat baru, namun tidak mahu dibuai dengan reputasi sebagai naib juara Liga Super 2010.
Ramai yang berpendapat, pasukan Kelantan musim ini adalah antara yang
terbaik dengan himpunan pemain-pemain berpengalaman dan baru kemudian
diadun menjadi pasukan yang cukup mantap dari segi kekuatan di setiap
posisi.
Posisi penjaga gol menyaksikan Kelantan tidak berdepan masalah
apabila ketiga-tiga penjaga gol yang disenaraikan cukup sebati mengawal
gawang mereka daripada di bocori dengan kehadiran Syed Adney Syed
Hussin, Halim Napi dan seorang lagi bintang dalam pembikinan iaitu
Khairul Fahmi Che Mat.
Pada usia yang masih muda, Khairul Fahmi dilihat cukup matang
terutama selepas disenaraikan sebagai salah seorang penjaga gol
kebangsaan dan pastinya beliau tidak rela posisinya sebagai penjaga gol
utama Kelantan dirampas rakan sepasukan.
Dua aksi ketika menentang Sela- ngor di suku akhir dan Kedah di
separuh akhir membuktikan dia kini mampu berdiri sebaris dengan
bintang-bintang penjaga gol yang pernah dilahirkan Kelantan seperti
Hamid Ramli, Wan Kamarulzaman Mohamad, Halim Napi dan Shahrizan Ismail.
Benteng Kelantan pula menyaksikan pengendalinya, B. Sathianathan
sedikit berdepan masalah apabila dua 'kereta kebal'nya, Azizi Mat Rose
dan S. Subramaniam mungkin terpaksa melupakan aksi pentas akhir ini.
Bagaimanapun, kombinasi antara Rizal Fahmi Rosid dan Farisham Ismail
di benteng tengah juga mampu diharapkan apabila dua anak kelahiran
Kelantan ini sudah semakin serasi dan selesa bekerjasama.
Rizal Fahmi dengan aksi yang lebih keras berjaya mencipta kombinasi
baik dengan Farisham yang sentiasa mempamerkan aksi bertenaga dan
kepantasannya memintas bola kerap meredakan tekanan di benteng Kelantan.
Posisi pertahanan kiri mungkin akan kekal menjadi milik Zairul Fit-
ree Ishak yang cukup selesa mencipta gerakan bersama ketua pasukan,
Indra Putra Mahayuddin dengan kemampuannya melakukan 'overlapping' dan
hantaran yang cukup baik dan sesekali dia juga mampu menggegarkan jaring
lawan.
Selepas kecederaan Azizi Mat Rose, posisi bek tengah mungkin diisi
oleh Farisham Ismail yang sebelum ini mengemudi pertahanan kanan dan
tempat yang ditinggalkannya kini kembali diisi oleh Daudsu Jamaluddin.
Jentera tengah Kelantan dilihat cukup sempurna dengan kombinasi empat pemain yang digilap oleh Sathia.
Mereka kini sudah berada di kemuncak dengan 'playmaker', Badri Radzi
akan bergandingan dengan Shakir Shaari yang akan merasai final pertama
piala berprestij itu.