KUALA LUMPUR Sejarah tercipta dan dendam terbalas, malah temasya
besar berhak dirayakan oleh Kelantan apabila menjulang anugerah
berprestij bola sepak negara, Piala Malaysia buat kali pertama setelah
menewaskan Negeri Sembilan 2-1 dalam perlawanan akhir edisi ke-44,
semalam.
Malah Wira Merah mengakhiri penantian yang sekian lama selepas
dihampakan dalam perlawanan akhir 1955, 1970 dan tahun lalu sekali gus
mengekori Perak, Selangor, Pulau Pinang, Pahang, Johor, Kuala Lumpur,
Kedah, Terengganu, Perlis dan Negeri Sembilan sebagai 11 negeri pemilik
Piala Malaysia sejak 1967.
Gegak gempita sorakan serta dentuman mercun melanda Stadium
Nasional, Bukit Jalil yang menyambut kejayaan skuad bimbingan B.
Sathianathan menebus kehampaan 3-1 kepada lawan dan di gelanggang sama
tahun lalu, hasil jaringan Hairuddin Omar dan Badri Radzi.
Sebaliknya Negeri Sembilan terlepas peluang untuk merangkul gelaran
berganda musim ini selepas Piala FA, April lalu biarpun mengejutkan
lawan dengan sepakan penalti penyerang bidan terjun, Shahurain Abu Samah
pada babak pertama.
Malah mereka mampu mendahului lebih awal andainya penyerangnya,
Idris Karim lebih kuat menyepak umpanan lambung S. Kunanlan dari sebelah
kanan, ketika cuma berdepan Khairul Fahmi Che Mat, yang sempat
menyambut tolakannya pada minit keenam.
Dalam satu serangan balas pantas yang dilancarkan Kunanlan minit
ke-12, Kelantan tergamam sehingga penjaga golnya, Khairul Fahmi terpaksa
membentes sayap kanan Negeri Sembilan dan menghadiahkan sepakan penalti
buat juara bertahan.
Biarpun diarahkan pengadil Subkhiddin Salleh supaya mengambil semula
sepakan penalti yang berjaya disudahi, Shahurain Abu Samah tetap tenang
menolak ke kiri gawang Kelantan untuk mencipta gol pembukaan Si Rusa,
seminit kemudian.
Namun, Si Kijang masih tidak mahu mengalah, setelah rembatan jauh
Zairul Fitree Ishak tersasar tinggi pada minit ke-11, Badri Radzi pula
terlepas menyamakan kedudukan apabila rembatannya sempat disekat bek
tengah lawan, Shukor Adan pada minit ke-35.
Enam minit kemudian menyaksikan kehampaan berterusan Idris gara-gara
dipersalahkan pengadil ketika cuba menyambut umpanan lambung Ching Hong
Aik dengan tandukan walaupun, hanya perlu mengatasi Khairul Fahmi yang
sempat mendakap bola.
Tiga minit masa kecederaan turut merakamkan kegagalan percubaan
sayap kanan Wira Merah, Nor Farhan Muhammad dalam kotak penalti
sementara rembatan jauh ketua pasukan Indra Putra Mahayuddin pula
berjaya ditepis penjaga gol Si Rusa, Sani Anuar Kamsani.
Dalam dua minit babak kedua bersambung, Kelantan kian garang memburu
gol penyamaan, namun kedua-dua percubaan Badri dan Hairuddin Omar
sekadar mencemaskan Sani Anuar tetapi belum dapat menembusi kubu
terakhir pasukan bimbingan Wan Jamak Wan Hassan itu.
Gol penyamaan idaman Wira Merah tiba juga pada minit ke-57 hasil
umpanan lambung Norshahrul Idlan Talaha dari sebelah kanan yang cukup
tepat disudahi dengan tandukan kencang Hairuddin tanpa mampu digapai
Sani Anuar lagi.
Bersemangat tinggi dengan gol itu, Kelantan mengasak lagi, lalu
Badri menggembirakan dan menghadiahkan majoriti hadirin Stadium Nasional
yang membentuk Lautan Merah dengan jaringan kedua minit ke-64 setelah
mendapat lorongan Nor Farhan dari belakangnya.
Wira Merah beroleh satu lagi peluang keemasan setelah penyerang
gantian, Akmal Rizal Rakhli dikasari Alif Shamsuddin tetapi sepakan
bebas Indra Putra menghampakan pasukan dan peminat mereka kerana
melewati palang gol pada minit ke-83.
KELANTAN: Khairul Fahmi Che Mat, Daudsu Jamaludin (Akmal Rizal
Rakhli), Farisham Ismail, Rizal Fahmi Rosid, Zairul Fitree Ishak, Nor
Farhan Muhammad, Badri Radzi, Shakir Shaari (Khairan Eroza Razali),
Indra Putra Mahayuddin, Norshahrul Idlan Talaha (S. Chanturu), Hairuddin
Omar.
NEGERI SEMBILAN: Sani Anuar Kamsani, Tengku Qayyum Ubaidillah Tengku
Ahmad, Shukor Adan, Aidil Zafuan Radzak (Firdaus Azizul), Ching Hong Aik
(Asyraf Al Japri), Alif Shamsuddin, Idris Karim, Halim Zainal, S.
Kunanlan, Shahurain Abu Samah, Qhairul Anwar Roslaini (Shaffik Rahman).
--- UTUSAN MALAYSIA