|
|
PETALING JAYA Reputasi juara Piala Malaysia musim ini, Kelantan
sebagai kuasa baru bola sepak tanah air semakin kukuh apabila
mendominasi lima daripada sembilan kategori Anugerah Bola Sepak
Kebangsaan 2010 100Plus-FAM, semalam.
Penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha paling mencuri tumpuan
selepas dinobatkan Pemain Paling Bernilai 2010 selain turut merangkul
Penyerang Terbaik 2010 menewaskan pencabar terdekat yang merupakan
penjaring gol terbanyak Liga Super, Mohamad Ashaari Samsudin dari
Terengganu.
Anak jati Besut, Terengganu itu berjaya meraih RM3,000 selaku Pemain
Paling Bernilai dan RM500 untuk kategori penyerang selain menerima
trofi daripada 100Plus selaku penaja utama.
Selain Norshahrul, Kelantan turut berbangga apabila penjaga gol,
Khairul Fahmi Che Mat diangkat sebagai pemenang dalam dua kategori iaitu
penjaga gol terbaik dan pemain muda terbaik.
Jurulatih Kelantan, B. Sathianathan melengkapkan penguasaan skuad
Red Warriors dengan berjaya muncul sebagai jurulatih terbaik mengatasi
K. Devan, E. Elavarasan, Gary Phillip dan Ahmad Yusoff.
Hadiah disampaikan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak
Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa, Pengarah Urusan F&N Beverages
Marketing Sdn. Bhd, James Teo dan Naib Presiden FAM, Datuk Seri Hamidin
Mohd.Amin.
Tidak menyangka muncul sebagai Pemain Paling Bernilai 2010,
Norshahrul yang menjadi salah seorang nadi kejayaan Kelantan pada musim
ini anugerah itu sebagai pemangkin semangat untuk menyerlah di Sukan
Asia dan Kelantan pada musim hadapan.
Akhirnya penat lelah saya selama satu musim ini berbaloi dan
terima kasih kepada semua jurulatih yang pernah membimbing saya termasuk
semua rakan sepasukan di Kelantan, tanpa anda semua, tidak mungkin saya
akan berada di sini.
Hadiah ini ditujukan kepada isteri tersayang yang banyak menyokong
karier saya dan insya- Allah saya akan terus mempertingkatkan prestasi
selepas ini di Sukan Asia dan Piala AFF bersama skuad kebangsaan,
jelasnya.
Pada masa sama, Norshahrul memberikan bayangan bahawa dia akan kekal
beraksi bersama skuad Kijang pada musim hadapan walaupun menerima
tawaran daripada beberapa pasukan lain.
Memang ada saya dapat beberapa tawaran seperti dari Selangor,
Perak dan Negeri Sembilan tetapi hati saya masih di Kelantan dan mahu
kekal di sini kerana rasa sudah selesa dengan rakan sepasukan dan
penyokong, ujarnya.
Anugerah pemain tengah terbaik menjadi milik pemain Kedah, Baddrol
Bakhtiar manakala Mohd. Aidil Zafuan Abdul Razak mempertahankan trofi
pertahanan terbaik.
Kedah muncul kelab penyokong terbaik sementara Johor FC mengulangi kejayaan dua tahun berturut-turut sebagai kelab terbaik.
Persatuan Bola Sepak Terbaik dipegang Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).