Thursday, September 6, 2012

Bojan hampa serangan tumpul

Pemain Kedah, Mohd. Syamim Alif (kiri) bersaing merebut bola dengan pemain Kelantan, Nurul Azwan Roya pada perlawanan Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, kelmarin. 
 
KOTA BHARU - Ketumpulan jentera penyudah menafikan hajat Red Warriors untuk meraih tiga mata apabila seri tanpa jaringan dengan Kedah pada aksi Kumpulan B Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, Alor Setar kelmarin.

Keputusan itu menyebabkan Kelantan terpaksa menunggu perlawanan terakhir menentang seteru tradisi, Terengganu di Kota Bharu 14 September ini untuk mengesahkan slot suku akhir.

Pengendali Kelantan, Bojan Hodak optimis pasukannya mampu layak ke suku akhir, meskipun gagal meraih tiga mata pada perlawanan kelmarin.

Hodak berkata, satu mata yang diraih pada perlawanan tersebut cukup penting untuk mencari slot terakhir dari Kumpulan B selepas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkankan kemaraan dengan menumbangkan finalis musim lalu Terengganu 2-0.

"Keseluruhan kita beraksi dengan baik dan berjaya mencipta banyak peluang gol, namun gagal dimanfaatkan, yang menyebabkan tiada jaringan dapat dihasilkan.

"Saya tidak menolak kepenatan menjadi faktor kita gagal mempamerkan aksi sebenar selepas mengharungi perlawanan yang sengit sebelum ini. Keadaan ini sedikit sebanyak mempengaruhi corak persembahan pasukan" katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Tambahnya, kecederaan yang dialami oleh beberapa tonggak utama memberikan kesukaran untuk dia membentuk gandingan mantap pada perlawanan tersebut.

Dalam pada itu, Hodak melaungkan keyakinan barisan pemainnya akan bangkit pada pertemuan terakhir menentang Terengganu di Kota Bharu nanti.

Menurutnya, tempoh rehat sepuluh hari memberikan peluang terbaik buatnya untuk merencanakan ramuan terbaik bagi menghadapi perlawanan tersebut.

Sementara itu, beliau memuji pemain muda Nik Mohd. Shahrul Azim Ab. Halim yang menunjukkan peningkatan dalam setiap perlawanan.

"Saya gembira pemain ini terpilih untuk menjalani latihan bersama skuad Harimau Muda A.
"Ini peluang terbaik buatnya untuk menimba lebih banyak pengalaman dan meningkatkan lagi corak permainan.

"Pemain ini berbakat besar dan saya akan terus menggilap bakatnya dalam usaha menjadikan dia antara pemain terbaik yang pernah dilahirkan oleh Kelantan," tambahnya.

--- UTUSAN MALAYSIA