Friday, September 14, 2012

Kelantan balas dendam, benam Terengganu 6-1

Noor Hafiza Che Abdullah dan Siti Fatimah Muhammad Ali
14 September 2012
Piala Malaysia
Piala Malaysia
 
MISI  Kelantan untuk membalas dendam  kekalahan kepada Terengganu pada perlawanan pertama sebelum ini kesampaian apabila berjaya menundukkan skuad Penyu 6-1 di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.

Dengan kemenangan Kelantan, ia meletakkan anak buah Bojan Hodak  di kedudukan teratas Kumpulan B, sekali gus melayakkan diri ke suku akhir mengiringi Angkatan Tentera Malaysia dalam Piala Malaysia 2012.

Pada mulanya, kedua-dua pasukan dilihat mempersembahkan corak permainan berhati-hati dan bola banyak berlegar di kawasan tengah padang.

Namun, Kelantan yang bermain di halaman sendiri mula menemui rentak dan mula  mengasak ke gawang lawan.

Akhirnya, pemain pinjaman dari Kuala Lumpur, Afiq Azmi berjaya menceriakan penyokong tuan rumah dengan  membuka jaringan awal  pada minit ke-13.

Terengganu yang tersentak dengan jaringan awal Kelantan, cuba membalas serangan ke arah  gawang lawan tetapi berjaya dihalang oleh pertahanan Kelantan.

Sebaliknya, pada babak akhir separuh masa pertama, Kelantan menjaringkan gol kedua menerusi Nor Farhan Mohammad untuk berada dalam keadaan selesa di depan.

Bersambung babak kedua, tidak sempat anak buah Peter Butler mengatur strategik, Kelantan sekali lagi menjaringkan gol ketiga menerusi Nor Farhan Mohammad pada minit ke-47.

Terengganu terus dihimpit tekanan apabila Kelantan terus berpesta gol pada minit ke-75 dan ke-81 menerusi Mohd Badri Radzi.

Skuad penyu yang tersentak mula melancarkan serangan bertali arus dan hasilnya pada minit ke-78 berjaya menjaringkan gol pertama menerusi Mohd Hafnizam.

Namun, Terengganu terus dihukum dengan kelincahan Indra Putra apabila  mengesahkan kemenangan pasukan tuan rumah dengan  menjaringkan gol keenam pada minit ke-84.

Pada aksi suku akhir pertama,  Kelantan akan bertemu naib juara Kumpulan C, , Felda United pada 28 September ini.

--- SINAR HARIAN