Saturday, September 15, 2012

Piala Malaysia: TRW bergaya ke suku akhir

ADILA SHARINNI WAHID & FOTO : KHIRU SHALEH ABDULLAH
15 September 2012
 Piala Malaysia: TRW bergaya ke suku akhir
Penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha dan pemain gantian Terengganu, Hasmizan Kamarodin berusaha untuk merebut bola dalam pertemuan kedua-dua pasukan malam tadi.
 Piala Malaysia: TRW bergaya ke suku akhir
Aksi penyerang Kelantan, Norfarhan Muhammad dan pertahanan Terengganu, Erison Da Silva dalam pertemuan keduadua pasukan malam tadi.
 
KOTA BHARU – Gergasi Pantai Timur, Kelantan mengesahkan slot ke suku akhir Piala Malaysia musim ini selepas mencipta kemenangan bergaya ke atas musuh tradisi, Terengganu, 6-1 di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, malam tadi.

Kemenangan disifatkan yang terbesar pernah dicatat Kelantan ke atas negeri berjiran itu dalam tempoh tiga tahun sejak 2009.

Beraksi di hadapan lebih 25,000 penonton di gelanggang sendiri, Kelantan bagai dirasuk apabila melancarkan serangan bertali arus ke kubu Terengganu.

Tuan rumah hampir mendapatkan jaringan awal pada minit ke-6 menerusi percubaan Muhammad Afiq Azmi, bagaimanapun, sepakannya tersasar.

Gol semangat yang dicari tuan rumah akhirnya menjelma pada minit ke-13 menerusi pemain sama apabila pemain pinjaman dari Kuala Lumpur itu bijak menyudahkan hantaran silang Mohd Nurul Azwan Roya sekali gus menebus kegagalannya pada minit sebelumnya.

Gol tersebut tidak menyentap semangat juang Terengganu apabila turut melancarkan serangan ke kubu pasukan Kelantan menerusi rangkaian jentera serangan diketuai Abdul Hadi Yahaya, namun berjaya dipatahkan pertahanan tuan rumah.

Pada minit ke-16 Kelantan hampir menambah jaringan menerusi tandukan Indra Putra Mahayuddin, tetapi penjaga garisan terlebih dahulu mengesan beliau dalam kedudukan off side.

Biarpun ketika Kelantan dilihat lebih menguasai permainan, Terengganu tetap enggan menyerah kalah apabila Abdul Hadi terus mara membuat cubaan ke arah pintu gol Kelantan pada minit ke-28, bagaimanapun, mudah diselamatkan penjaga gawang Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.

Pada minit ke-29, giliran Mohd Norfarhan Muhammad menambah jaringan skuad The Red Warriors hasil tandukan ke belakang oleh Indra Putra sekali gus memberi kedudukan selesa tuan rumah sehingga berakhir babak pertama.

Dua minit separuh masa kedua bermula, Kelantan terus ghairah menambah jaringan apabila Mohd Norfarhan sekali lagi meledakkan gol ketiga tuan rumah.

Pelawat bagaimanapun masih tidak berputus asa dan terus membuat beberapa percubaan bagi mendapatkan gol, pun begitu, banyak kali tendangan pemain kontroversi, Ismail Faruqi Asha’ri terus ke dalam dakapan Khairul Fahmi.

Gol keempat tuan rumah terhasil pada minit ke-76 menerusi tandukan tipis Ketua Pasukan, Mohd Badhri Mohd Radzi yang menerima bola dari pemain pertahanan import dari Nigeria, Obinna Nwaneri.

Kemasukan pemain gantian, Hasmizan Kamarodin memecah kebuntuan skuad bimbingan Peter Butle apabila pemain berjersi nombor 13 itu mudah menjaringkan gol hasil hantaran Abdul Hadi pada minit ke-78.

Gol itu bagaimanapun seolah-olah tidak bermakna lagi apabila Kelantan terus berpesta gol menerusi jaringan Mohd Badhri minit ke-81.

Anak-anak buah Bojan Hodak menutup tirai perlawanan malam tadi dengan gol keenam menerusi Indra Putra pada minit ke-84.

Kesebelasan utama

Kelantan: Obinna Nwaneri, Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim, Mohd Shakir Shaari (Zairul Fitree Ishak), Mohd Norfarhan Muhammad (Khairul Izwan Rosli), Mohd Nurul Azwan Roya, Indra Putra Mahayuddin, Mohd Daudsu Jamaludin, Mohd Badhri Mohd Radzi (KP), Khairul Fahmi Che Mat, Mafry Balang, Muhammad Afiq Azmi (Norshahrul Idlan Talaha)

Terengganu: Erison Da Silva, Ismail Faruqi Asha’ri, Abdul Manaf Mamat, Joseph Kalang Tie, Abdul Hadi Yahaya, Marlizam Mohamad, Muhammad Zubir Mohd Azmi, Ahmad Nordin Alias, Abdul Shukur Jusoh (Mohd Fakrurazi Musa), Mohd Faizal Muhamad (KP) (Hasmizan Kamarodin), Mohd Shamirza Yusoff (Mohd Saifuddin Mokhtar)

--- SINAR HARIAN