KUALA LUMPUR - Misi kejuaraan treble Kelantan
sedikit tempang apabila terpaksa meratapi kehilangan dua tonggak di
bahagian serangan, Mohamed Ghaddar dan Norfarhan Muhammad pada
perlawanan akhir dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Sabtu ini.
Bukan disebabkan masalah kecederaan tetapi gara-gara kutipan dua kad
kuning yang membuatkan mereka berdua terpaksa digantung satu perlawanan
dan terpaksa melupakan terus hasrat membantu Kelantan menjulang Piala
Malaysia buat kali kedua.
Biarpun dapat menyingkirkan Selangor dengan penuh bergaya, nada
jurulatih Kelantan, Bojan Hodak jelas sedikit resah apabila mengetahui
hakikat bakal kehilangan dua tonggak penting yang membawa kemaraan
pasukannya ke pentas akhir.
Mengakui terpaksa membayar harga yang mahal, ketiadaan mereka berdua
bakal memberikan sedikit kesulitan kepada Kelantan dalam usaha merangkul
kejuaraan ketiga selepas menjulang Piala FA dan Liga Super musim ini.
''Kehilangan Ghaddar dan Norfarhan memang menjadi masalah pada kami sekarang apabila sudah mengutip dua kad kuning.
''Memang benar, kami tidak berada dalam keadaan terbaik kerana
kedua-dua pemain ini merupakan penjaring gol dalam dua aksi separuh
akhir, " katanya yang ditemui selepas perlawanan separuh akhir kedua
Piala Malaysia antara Selangor dan Kelantan, semalam.
Namun, Bojan masih tidak mahu cepat mengalah dan melaungkan keyakinan
bahawa pemain lain mampu menggantikan tempat Ghaddar dan Norfarhan di
posisi serangan.
''Walaupun begitu, saya tidak mahu menjadikan itu sebagai alasan dan
tetap mahu berikan persembahan terbaik ketika berdepan ATM pada
perlawanan akhir nanti, " katanya.
Ketiadaan Ghaddar dan Norfarhan menjadikan pilihan Bojan di bahagian
serangan kini hanya tertumpu kepada Norshahrul Idlan Talaha, Afiq Azmi,
Mohd Ramzul Zahini Adnan dan Azlan Ismail.
Namun, Bojan juga mempunyai pilihan lain dengan meletakkan Indra Putra Mahayuddin dari bahagian tengah ke posisi penyerang.
Kelantan mara ke perlawanan akhir selepas menang secara agregat 3-0
dengan kejayaan menang 2-0 ke atas Selangor di Shah Alam hasil jaringan
Mohamed Ghaddar dan Mohd Badri Mohd Radzi, lima minit sebelum perlawanan
tamat.
Dalam masa sama, Bojan mengakui dia lega dengan kemenangan itu
meskipun perlawanan dengan Selangor pada Jumaat lalu, bukan satu
persembahan terbaik daripada skuad kendaliannya.
"Kami bermula dengan baik pada mulanya dan memperolehi banyak peluang untuk menjaringkan gol pada perlawanan tersebut.
"Memang diakui, pasukan saya tidak beraksi seperti yang diharapkan
namun paling mustahak adalah kemenangan pada malam ini (kelmarin),"
ujarnya.