Sunday, October 14, 2012

Kelantan Hampiri Gelaran Treble Musim Ini

13 Oktober, 2012 00:36 AM

SHAH ALAM, 13 Okt (Bernama) -- Kelantan semakin menghampiri gelaran treble musim ini dengan mara ke final Piala Malaysia 20 Okt ini selepas menewaskan Selangor dengan agregat 3-0 pada perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Shah Alam di sini Jumaat malam.

Skuad bimbingan Bojak Hodak itu mencatatkan kemenangan selesa 2-0 ke atas skuad Gergasi Merah hasil jaringan Mohamed Ghaddar Mahmoud pada minit ke-85 dan pemain gantian Mohd Badri Mohd Radzi pada minit ke-94.

Terdahulu, mereka menundukkan Selangor dengan keputusan 1-0 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Baharu hasil jaringan pemain tengah, Mohd Norfarhan Muhammad pada Sabtu lepas.

Kelantan sebelum ini muncul juara Liga Super selain menjuarai Piala FA buat kali pertama selepas menewaskan pasukan kelab, Sime Darby, 1-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 19 Mei lepas.

Pada perlawanan ini, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan sebaik sahaja pengadil perlawanan, Mohd Amirul Izwan Yaacob meniupkan wisel permainan namun digagalkan oleh kekentalan benteng pertahanan masing-masing.

Bersambung separuh masa kedua, kedua-dua pasukan memperkemaskan jentera serangan bagi mendapatkan gol pendahuluan sebelum Mohamed Ghaddar membuka tirai jaringan.

Mohd Badri muncul wira skuad The Red Warriors dengan jaringan kedua untuk memastikan mereka layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia buat kali kelima dalam sejarah penyertaan mereka.

Penyerang import Selangor dari Croatia, Bosko Balaban sebelum itu menerima kad merah pada minit ke-87 kerana mengasari pemain lawan.

Kemenangan tersebut membolehkan mereka bertemu juara Liga Perdana, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada final.

Sebagai rekod, Kelantan hanya menjulang trofi Piala Malaysia pada 2010 menerusi kemenangan tipis 2-1 ke atas juara bertahan Negeri Sembilan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

-- BERNAMA