Saturday, January 5, 2013

Bukan RM400,000 tapi RM250,000

NORSHAHRUL (kiri) mendengar arahan daripada jurulatih Johor Darul Takzim, Fandi Ahmad (kanan) ketika menjalani sesi latihan di Stadium Larkin, Johor Bahru baru-baru ini.


PENYERANG berbisa Harimau Malaya, Norshahrul Idlan Talaha akan melunaskan bayaran tebus kontraknya kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengikut syarat serta peraturan yang ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). 

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (gambar kecil) bertitah, Norshahrul atau Mat Yo sudah melantik peguam bagi menyelesaikan isu berkenaan dan pemain itu akan melunaskan segala bayaran berkaitan kepada KAFA. 

“Berdasarkan kepada arahan yang dikeluarkan FAM, Norshahrul hanya perlu membayar RM250,000. Bayaran itu akan dibuat hari ini (semalam) dan itu sahaja jumlah yang akan dibayar kepada KAFA.

“Segala bayaran itu mengikut arahan FAM dan jumlahnya tidak sampai RM400,000 seperti yang didakwa KAFA,” titah Tunku Ismail pada sidang akhbar di Johor Bahru semalam.

Terdahulu, perpindahan Mat Yo ke Johor mencetuskan pelbagai polemik termasuk mengenai isu bayaran tebus kontraknya sebelum KAFA membuat keputusan membenarkan pemain itu berhijrah.

Pada masa sama, Tunku Ismail menyarankan Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa untuk menghentikan segala ‘drama’ berkaitan Mat Yo dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada pembangunan bola sepak Kelantan.

Kelmarin, Annuar dilapor berkata, mengikut peraturan FAM, Mat Yo sepatutnya membayar harga tebus kontrak tersebut dalam tempoh 30 hari selepas didaftarkan dengan pasukan baharu.

Annuar yang tidak mendedahkan nilai harga tebus kontrak itu menambah, Mat Yo juga masih mempunyai baki kontrak bernilai RM400,000 dengan KAFA.

Bagaimanapun Tunku Ismail berpendapat, segala isu yang ditimbulkan mengenai Mat Yo mungkin disebabkan pemain itu kini tidak lagi menyarung jersi Kelantan.

“Cukuplah dengan drama Norshahrul, tidak elok cakap bukan-bukan seperti budak-budak. Lebih baik kembali fokus kepada sukan bola sepak profesional.

“Rumah saya sentiasa terbuka kepada mereka (KAFA) sekiranya mereka ingin menyelesaikan sesuatu perkara atau mengadakan perbincangan. PBNJ sentiasa bersikap profesional,” titah baginda.

Tunku Ismail menambah, KAFA seharusnya menghargai jasa Mat Yo sepanjang beraksi bersama Kelantan selain usahanya membantu skuad The Red Warriors itu memenangi pelbagai kejuaraan.

Titahnya, pemain hebat sentiasa datang dan pergi dan sebagai sebuah persatuan profesional, KAFA perlu menerimanya dengan hati terbuka dan bukan mewujudkan pelbagai isu.

“Sebagai contoh, sekiranya Safee Sali mahu meninggalkan pasukan Johor Darul Takzim pada masa akan datang, saya akan menerimanya dengan hati terbuka dan mengucapkan terima kasih atas jasanya terhadap pasukan,” jelas baginda.