Antara aksi pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2012 yang berakhir ATM dikecewakan oleh Kelantan.
RANTAU PANJANG - Kekalahan kepada The Red
Warriors dalam final Piala Malaysia musim lalu memberi motivasi kepada
pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam aksi perlawanan Sumbangsih
bagi membuka tirai Liga Malaysia 2013 di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.
Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin berkata, ATM akan
memberi tentangan sengit dalam perlawanan itu nanti dengan azam menebus
dendam kekalahan sebelum ini.
"Piala Sumbangsih, kami juga begitu teruja dan kita akan memberi satu tentangan yang hebat. Ini adalah ulangan kepada final Piala Malaysia musim lalu dan satu dendam mesti dibayar," katanya ringkas ketika ditemui di sini semalam.
Sehubungan itu, Zulkifeli menyeru semua anggota ATM yang tidak
bertugas pada Sabtu ini untuk hadir ke stadium bagi memberi sokongan dan
membantu pasukan mereka memenangi perlawanan itu.
Jelas beliau, ramai penyokong setia Kelantan akan hadir, justeru
kehadiran penyokong ATM sangat penting bagi memberi sokongan kepada
pemain-pemain mereka.
"Pada perlawanan nanti, saya minta semua anggota tentera yang tidak
bertugas pada waktu malam datang ke stadium di mana perlawanan
berlangsung kerana saya dimaklumkan ramai orang Kelantan akan hadir,"
katanya.
Sementara itu, Zulkifeli agak berahsia ketika ditanya mengenai
persiapan pasukannya menghadapi musim depan bagaimanapun katanya semua
perkara ini akan dimaklumkan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad
Zahid Hamidi hari ini.
Zulkifeli bagaimanapun menegaskan, dua pemain import pasukannya iaitu
Marlon Alex James dan Bruno Sebastian Martelotto dikekalkan untuk musim
depan.
"Mengenai pemain import, ATM masih kekalkan Marlon dan Bruno. Saya
bersama menteri yang akan memperkenalkan pasukan, penaja dan jersi baru
esok (hari ini)," katanya.