KOTA BHARU - The Red Warriors selaku juara tiga
piala musim lalu bakal teruji apabila berdepan Angkatan Tentera Malaysia
(ATM) dalam aksi pembukaan Liga Malaysia 2013 dalam perlawanan
Sumbangsih di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.
Berdepan dengan jaguh Liga Perdana itu, Kelantan perlu mencatatkan
kemenangan dalam perlawanan tersebut sebagai suntikan moral menjelang
saingan Liga Super yang akan membuka tirai 8 Januari ini.
Meskipun kehilangan dua penggempur berbisa, Norshahrul Idlan Tahala
dan Mohammad Ghaddar yang mengubah haluan bersama pasukan baharu,
penyokong setia mereka tetap optimis Kelantan mampu merangkul kejuaraan
tersebut selepas kecundang 1-2 di tangan Negeri Sembilan tahun lalu.
Bagi Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim
(kelate.net) inilah peluang terbaik pasukan untuk menebus kegagalan
musim lalu dengan menjulang kejuaraan tersebut buat kali kedua selepas
melakukannya pada musim 2010 lalu.
Timbalan Presidennya, Mahizi Mahmood berkata, berdasarkan kombinasi
pemain yang ada, dia optimis Kelantan mampu menumbangkan ATM dalam
perlawanan tersebut sekali gus membuka tirai saingan Liga M musim ini
dengan bergaya.
Menurutnya, kehilangan Norshahrul Idlan dan Mohammad Ghaddar tidak
menjejaskan persiapan pasukan apabila pemain yang dibawa masuk oleh
pengurusan pasukan musim ini dilihat mampu mengisi kekosongan dua
tonggak terbabit.
"Berdasarkan pemain yang ada saya yakin dan percaya Kelantan
mempunyai kelebihan pada perlawanan tersebut. Ditambah pula kebanyakan
pemain yang ada sudah masak dengan taktikal yang diterapkan oleh ketua
jurulatih Bojan Hodak.
"Pasukan kami tidak hanya bergantung kepada seseorang pemain dan ia
lebih permainan secara berpasukan. Selain itu rata-rata pemain mampu
menjaringkan gol dan inilah kunci kejayaan The Red Warriors.
"Bagaimanapun, keupayaan ATM tidak boleh dipandang rendah oleh
Kelantan, mereka mempunyai ramai pemain yang berbakat dan mampu
meranapkan impian kita sekiranya diberikan peluang secukupnya," katanya
kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Untuk saingan musim ini, Kelantan membawa masuk beberapa nama baharu
bagi memperkuatkan pasukan antaranya Zairol Annuar Zailani, Mohd. Faiz
Subri, Mohd. Hariss Safwan Kamal dan Norhadi Ubaidillah serta bekas
penjaring terbanyak Liga Super musim 2005-2007 Keita Mandjou.
Dalam perkembangan lain, Mahizi menyeru penyokong Kelantan supaya
lebih berdisiplin sebagaimana yang ditunjukkan sepanjang musim lalu.
Katanya, disiplin yang tinggi dalam kalangan penyokong menjadi tulang
belakang kejayaan pasukan bagi mempertahankan kejuaraan yang dirai
musim lalu pada tahun ini.