KELANTAN cukup gah mendominasi Liga Malaysia musim lalu, dengan meraih treble berikutan mempunyai pasukan yang mantap serta barisan pemain serba boleh, namun nasib Red Warriors pada musim ini menjadi tanda tanya.
Adakah legasi ini akan berterusan di bawah kepimpinan Presiden
Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa? Ataupun tiba
giliran pencabar lain menamatkan mimpi indah skuad Pantai Timur itu.
Berdasarkan persiapan yang dilakukan oleh penyandang juara Liga
Super, Piala FA dan Piala Malaysia itu, masih banyak yang perlu
diperbaiki lagi andainya mereka mahu terus menguasai saingan musim
depan.
Bulan lepas Kelantan sempat beraksi dalam tujuh siri perlawanan
persahabatan untuk mencuba pemain import dan tempatan baru mereka,
antara keputusan positif ialah membelasah pasukan Liga Perdana Perlis
5-0, Kedah 4-1 dan menang 4-0 ke atas Pulau Pinang.
Mereka juga dijemput untuk beraksi di Piala Gabenor Acheh 2012, namun
terpaksa pulang awal selepas seri 1-1 dengan Brunei DPMM dan tewas
kepada Semen Padang FC 4-2 tetapi tidak boleh disamakan tentang
persiapan pra-musim dengan saingan sebenar.
Pasukan bimbingan Bojan Hodak ini masih lagi mempercayai pemain
berpengaruh seperti Shakir Shaari, Mohd. Nor Farhan Muhammad, Mohd.
Badhri Mohd Radzi, Khairul Fahmi Che Mat, Indra Putra Mahayuddin
walaupun kehilangan penyerang kebangsaan Norshahrul Idlan Talaha.
Ketiadaan penyerang import, Mohammed Ghaddar bakal diganti dengan
bekas pemain import Perak, Keita Mandjou untuk merobek gawang lawan
manakala beberapa pemain baru seperti Mohd. Haris Safwan Mohd Kamal dan
Mohd Faiz Subri akan menjadi pembantunya di bahagian serangan.