Thursday, January 28, 2016

KAFA Cari Pemain Import Melalui Kaedah Pencari Bakat Dan Ejen FIFA - Annuar


KOTA BAHARU, 27 Jan (Bernama) -- Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menggunakan dua kaedah bagi mencari pemain import berkualiti untuk menyarung jersi skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warrios (PQPTRW) dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) tahun ini.

Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa berkata dua kaedah tersebut ialah menggunakan sistem pemilihan terbuka dan pencari bakat.

"Tetapi akhirnya kami mengambil ketiga-ketiga pemain import kami melalui cara kedua iaitu melalui pencari bakat dan ejen Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

"Memang benar sedikit mahal, ada yang kita terpaksa membayar 'Loan Fee' dan 'Transfer fee'," katanya dalam entri terbaru Facebooknya, Rabu.

Annuar berkata namun begitu ia tidak menjamin pihaknya mendapat pemain import yang mereka kehendaki dan itulah pengalaman pahit yang mereka lalui selama ini.

"Cuma sekarang kita masukkan syarat dalam kontrak di mana sekiranya prestasi mereka tidak memuaskan, kita berhak menamatkan khidmat mereka dengan memberi notis dan pampasan yang terhad sahaja," katanya.

Tiga pemain import baharu PQPTRW ialah Dramene Traore dari Mali, Jonathan Lucca (Brazil) dan Baze Llijoski dari Yugoslavia.

Annuar berkata demikian bagi mengulas laporan akhbar hari ini berhubung kebanjiran pemain import kelas kedua berpunca daripada pemain import yang ingin mencuba nasib iaitu pemain digelar sebagai 'Tourist Footballer' (Pemain Pelancongan).

-- BERNAMA