BEKAS pemain Birmingham City, Morgaro Gomis melengkapkan kuota import
terakhir skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQP TRW) sebelum
jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga-M) berakhir pada 15 Julai
ini. Lapor MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD.
Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa
berkata, pemilihan bekas pemain kebangsaan Senegal itu bagi menggantikan
Jonatan Lucca dari Brazil yang ditamatkan kontrak secara persetujuan
bersama, baru-baru ini.
“Berasaskan keperluan pasukan, ketua jurulatih diberi masa membuat
penilaian dan dia telah memperakukan dua pemain import baharu iaitu
Gomis dan Wander Luiz (Bitencourt Junior, pemain Brazil) untuk pasukan
ini.
“Kita dapati Troare (Dramane, penyerang Mali) dan Ilijoski (Blazhe)
tidak begitu sesuai di antara satu sama lain dan Popov mahukan pemain
tengah bertahan yang lebih berkesan," katanya,
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis
Menandatangani Kontrak bersama Gomis dan Luiz di Kota Bharu, semalam.
Hadir sama Timbalan Presiden, Datuk Seri Afandi Hamzah, Naib
Presidennya, Datuk Rosmadi Ismail serta penaja utama Kelantan 2016,
Datuk Seri Dr Hasmiza Othman.
Gomis, 30, dilahirkan di Perancis selain turut memiliki kerakyatan
Senegal beraksi bersama Heart of Midlothian FC dalam Liga Premier
Scotland sejak musim 2014 namun dipinjamkan ke Motherwell FC, pada
Februari tahun ini.
Annuar memberitahu, keputusan mengikat Gomis dibuat setelah beberapa
siri percubaan menguji pemain import dari Maldives dan Australia
sepanjang Ramadan lalu menemui kegagalan.
“Usaha ini dilakukan bagi memperkasakan kembali pasukan. Kita sentiasa
memberi sokongan dan saya harap kehadiran Gomis dan Wander Luiz akan
dapat perbaiki prestasi pasukan dalam pusingan kedua Liga Super dan
kempen Piala Malaysia,” katanya.
Sementara itu Popov memberitahu, dia mahukan seorang pemain tengah
bertahan yang agresif serta mempunyai pengalaman luas beraksi di
peringkat kompetitif dan Gomis adalah pemain yang menepati kriteria
tersebut.
“Gomis dan Wander Luiz ada pengalaman bermain dalam liga besar
berbanding di sini, jadi tiada alasan bagi kedua-dua pemain ini untuk
gagal menunjukkan sesuatu dan membawa perubahan kepada pasukan ini,”
katanya.
--- SINAR HARIAN