PEMAIN kelahiran Brazil, Wander Luiz Bitencourt Junior
berada dalam radar Kelantan untuk dibawa masuk bagi memperkuatkan
cabaran skuad pantai timur itu mengharungi baki saingan Liga Malaysia
(Liga-M) musim ini.
Pemain berusia 29 tahun itu dijangka tiba di Kota Bharu, esok, bagi
menyertai ujian pemilihan bersama seorang lagi pemain kebangsaan
Maldives, Akram Abdul Ghanee yang sudah pun menjalani latihan dengan
Kelantan, sejak tiga hari lalu.
Walaupun Ketua Jurulatih The Red Warriors, Velizar Popov enggan
mendedahkan butiran pemain berkenaan, namun sumber dalaman Persatuan
Bola Sepak Kelantan (Kafa) mengesahkan Wander Luiz Junior adalah
individu yang dimaksudkan itu.
“Jika tiada apa-apa masalah, mungkin esok pemain itu akan tiba di
negara ini. Saya mencari pemain serba boleh, dia berperanan selaku
penyerang utama, penyerang sokongan dan juga penyerang tipikal.
“Kelantan memerlukan pemain import yang boleh beraksi di semua posisi
termasuklah tengah dan serangan. Jadi, saya perlukan pemain yang boleh
disenaraikan dalam kesebelasan utama, bukan datang ke sini untuk
memanaskan bangku simpanan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Pemain kelahiran Lamim itu memulakan karier dengan mewakili Vila Nova
FC di negara kelahirannya bermula tahun 2005 hingga 2010, Buriram
(2010-2011), Suphanburi FC (2012), America de Cali (2013), Fujairah SC
(2014), Ulsan Hyundai FC dan kelab terakhirnya, Ratchaburi Mitr Phol FC
dalam Liga Thailand, pada musim lalu.
Bagaimanapun, jurulatih kelahiran Bulgaria itu berkata, dia tidak akan
terburu-buru menamakan pengganti Dramane Troare dan Jonatan Lucca selagi
belum menilai kemampuan pemain dua tersebut dalam sesi latihan dan aksi
persahabatan selepas ini.
“Sehinggalah pemain itu datang, buat pemeriksaan kesihatan dan saya
mahu lihat sama ada boleh menyesuaikan diri atau tidak, tiada jaminan
saya boleh berikan (mengikat pemain) kerana apa-apa sahaja boleh berlaku
pada saat-saat akhir.
“Anda tengok (Francis) Forkey Doe amat menakjubkan semasa mewakili
Selangor, penjaring terbanyak bersama Felda United tetapi tiada apa-apa
menarik ketika bersama Kelantan. Begitu juga Troare cemerlang di PDRM
(Polis Diraja Malaysia) musim lalu, namun gagal menyerlah di sini,”
katanya.
Dalam masa sama, pengendali berusia 40 tahun itu turut menegaskan
sekalipun mengenali Akram, ketika melatih skuad kebangsaan Maldives
tahun lalu, namun itu tidak bermakna dia bersedia mengikat pemain yang
beraksi di dua posisi berbeza itu dalam masa terdekat.
“Saya tahu mengenai Akram, tetapi dia perlu bersedia bukan 100 tetapi
200 peratus jika hendak menyarung jersi Kelantan. Sebagai pemain import,
bagus sahaja tidak cukup kerana pasukan ini cukup spesifik dan mereka
kena sesuaikan diri dengan corak permainan dengan baik,” katanya.
--- SINAR HARIAN