KELIBAT garang dan bengis pengendali Kelantan, Velizar
Popov mencuri perhatian ketika pasukannya turun beraksi menentang
Selangor di Stadium Shah Alam, kelmarin.
Dalam perlawanan itu, Popov banyak kali menunjukkan rasa tidak puas
hati terhadap keputusan pengadil sehingga dia diberi amaran.
Mengulas tindakannya itu, Popov berkata, itu sebahagian tugasnya sebagai jurulatih.
"Saya hanya melakukan tugas saya dengan memberi reaksi dan pendapat.
Ada beberapa keputusan yang saya lihat kurang wajar dan saya cuba
menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan itu.
"Bagaimanapun saya tidak mahu mengulas lanjut keputusan pengadil malam
ini (kelmarin). Biar dia lakukan tugasnya dan saya lakukan tugas saya
sebagai ketua jurulatih," ujarnya.
Dalam perlawanan itu, pelawat bangkit ketinggalan 1-3 untuk mengikat keputusan seri 3-3 di minit akhir perlawanan.
Bagi Popov keputusan ini lebih daripada cukup dan bangga dengan semangat juang tinggi dipamerkan pemainnya.
"Falsafah saya mudah. Saya dan pasukan tidak akan sesekali bermain
secara bertahan. Kami akan terus menyerang dan inilah hasil yang kami
dapat.
"Kalau kami mengamalkan corak bertahan pastinya keputusan malam ini
berbeza. Apa pun saya amat berterima kasih kepada pemain yang mempunyai
semangat juang yang tinggi dan berjuang sehingga minit-minit akhir,"
katanya.
--- SINAR HARIAN