Wednesday, July 27, 2016

Kelantan tidak mahu beri muka

“TIADA laluan mudah” Demikian tegas Pengurus Kelantan, Wan Badri Wan Omar menjelang pertemuan sengit menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Super di Stadium Larkin, malam ini.

Wan Badri berkata, walaupun kelebihan berpihak peneraju takhta liga itu kerana bermain di gelanggang sendiri, namun dia percaya pasukannya juga berpeluang mencipta kejutan sekurang-kurangnya mencuri satu mata dalam aksi itu.

“Memang kita sedar bukan mudah bagi mana-mana pasukan bermain di Larkin apatah lagi JDT kini berada pada prestasi terbaik mereka setelah mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 14 perlawanan selain tidak pernah tewas di tempat sendiri.

“Tetapi saya percaya tiada yang mustahil dalam bola sepak. Apa-apa sahaja boleh berlaku dan jurulatih (Velizar Popov) pasti mempunyai percaturan tersendiri untuk berdepan pasukan hebat seperti JDT,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menurutnya, dia yakin skuad pantai timur itu mampu memberi tentangan ke atas skuad kendalian Mario Gomez walaupun gagal melakar kemenangan ketika bertemu Pahang di Kota Bharu, tempoh hari.

“Kita beraksi baik, namun banyak peluang gagal terhidang diterjemahkan dalam bentuk jaringan. Namun inilah hakikat bola sepak, kemenangan hanya datang dengan cara  kita menjaringkan gol dalam satu-satu perlawanan,” katanya.

Tambahnya lagi, ketiadaan dua tonggak utama iaitu Mohamad Muslim Ahmad dan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria akibat kecederaan dan penggantungan permainan mampu ditampung dengan kehadiran pemain lain untuk berdepan pasukan Harimau Selatan.

“Sudah pasti Popov akan melakukan sistem penggiliran pemain dan siapa yang diturunkan, saya rasa sudah ada dalam perancangannya untuk memilih sesiapa dalam kesebelasan utama malam esok (malam ini),” katanya.

Dalam pada itu, pengurus berusia 43 tahun itu mengakui faktor jadual perlawanan padat bukanlah sesuatu yang normal bagi pemainnya, namun ia terpaksa ditempuhi memandangkan semua pasukan lain turut berdepan situasi sama, ketika ini.

“Apa keadaan sekali pun, semua pemain perlu mengekalkan kekuatan mental dan fizikal dengan memberikan komitmen dan disiplin tertinggi mereka pada pertemuan ini,” katanya.


--- SINAR HARIAN