Wan Badri berkata, pasukannya tidak mempunyai masalah meskipun
Kerjasama Lialibiti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) memutuskan
perlawanan dilangsungkan sebelah petang setelah tahap pencahayaan lampu
limpah stadium berkenaan gagal melepasi had ditetapkan.
Menurutnya, sekali pun The City Boys sudah biasa bermain sebelah petang
dalam saingan Liga Perdana namun dia menegaskan ia tidak memberi
sebarang kelebihan kerana yakin pemainnya juga mampu menyesuaikan diri
dengan cuaca panas.
“Rasanya bermain setelah petang tak ada masalah kepada Kelantan. Saya
percaya pemain boleh sesuaikan diri dengan keadaan tersebut tambahan
pula difahamkan keadaan cuaca di ibu negara amat baik, sehari dua ini.
“Malah saya fikir pemain import pun tak ada masalah, Wander Luiz
(Bitencourt Junior) sudah biasa kerana cuaca di Brazil lebih kurang sama
dengan Malaysia manakala Gomis (Morgaro) juga ada pengalaman bermain
sebelah petang dalam Liga Perdana Inggeris,” katanya, semalam.
Wan Badri berkata, skuad kendalian Velizar Popov akan turun dengan misi
mengutip tiga mata bagi mencerahkan peluang melayakkan diri ke kelompok
lapan pasukan terbaik dalam pertandingan piala paling berprestij itu.
“Sudah pasti kami mahukan kemenangan di Selayang petang esok (hari
ini). Jika kita dapat menewaskan Kuala Lumpur, bererti salah satu slot
ke suku akhir sudah terjamin buat Kelantan.
“Apa pun, kita letak tepi dahulu soal (layak ke suku akhir) itu kerana
saya mahu pemain memberi sepenuh tumpuan perlawanan itu. Kita tahu,
Kuala Lumpur sebuah pasukan yang cukup sukar dikalahkan sebagaimana
mereka buktikan ketika hanya tewas 0-1 di Kota Bharu, 30 Julai lalu,”
katanya.
Dalam perkembangan sama, Wan Badri berkata, Kelantan cukup lega apabila
dua tonggak utama, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dan Indra Putra
Mahayuddin kembali memperkuatkan pasukan itu untuk berdepan skuad
kendalian Ismail Zakaria.
--- SINAR HARIAN