Showing posts with label Piala Malaysia 2016. Show all posts
Showing posts with label Piala Malaysia 2016. Show all posts

Tuesday, August 9, 2016

Kelantan buru tiga mata di Selayang

Wan Badri berkata, pasukannya tidak mempunyai masalah meskipun Kerjasama Lialibiti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) memutuskan perlawanan dilangsungkan sebelah petang setelah tahap pencahayaan lampu limpah stadium berkenaan gagal melepasi had ditetapkan.

Menurutnya, sekali pun The City Boys sudah biasa bermain sebelah petang dalam saingan Liga Perdana namun dia menegaskan ia tidak memberi sebarang kelebihan kerana yakin pemainnya juga mampu menyesuaikan diri dengan cuaca panas.

“Rasanya bermain setelah petang tak ada masalah kepada Kelantan. Saya percaya  pemain boleh sesuaikan diri dengan keadaan tersebut tambahan pula difahamkan keadaan cuaca di ibu negara amat baik, sehari dua ini.

“Malah saya fikir pemain import pun tak ada masalah, Wander Luiz (Bitencourt Junior) sudah biasa kerana cuaca di Brazil lebih kurang sama dengan Malaysia manakala Gomis (Morgaro) juga ada pengalaman bermain sebelah petang dalam Liga Perdana Inggeris,” katanya, semalam.

Wan Badri berkata, skuad kendalian Velizar Popov akan turun dengan misi mengutip tiga mata bagi mencerahkan peluang melayakkan diri ke kelompok lapan pasukan terbaik dalam pertandingan piala paling berprestij itu.

“Sudah pasti kami mahukan kemenangan di Selayang petang esok (hari ini). Jika kita dapat menewaskan Kuala Lumpur, bererti salah satu slot ke suku akhir sudah terjamin buat Kelantan.

“Apa pun, kita letak tepi dahulu soal (layak ke suku akhir) itu kerana saya mahu pemain memberi sepenuh tumpuan perlawanan itu. Kita tahu, Kuala Lumpur sebuah pasukan yang cukup sukar dikalahkan sebagaimana mereka buktikan ketika hanya tewas 0-1 di Kota Bharu, 30 Julai lalu,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Wan Badri berkata, Kelantan cukup lega apabila dua tonggak utama, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dan Indra Putra Mahayuddin kembali memperkuatkan pasukan itu untuk berdepan skuad kendalian Ismail Zakaria.

--- SINAR HARIAN

Saturday, July 23, 2016

Popov jawab aksi mafia

KELIBAT garang dan bengis pengendali Kelantan, Velizar Popov mencuri perhatian ketika pasukannya turun beraksi menentang Selangor di Stadium Shah Alam, kelmarin.

Dalam perlawanan itu, Popov banyak kali menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan pengadil sehingga dia diberi amaran.

Mengulas tindakannya itu, Popov berkata, itu sebahagian tugasnya sebagai jurulatih.

"Saya hanya melakukan tugas saya dengan memberi reaksi dan pendapat. Ada beberapa keputusan yang saya lihat kurang wajar dan saya cuba menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan itu.

"Bagaimanapun saya tidak mahu mengulas lanjut  keputusan pengadil malam ini (kelmarin). Biar dia lakukan tugasnya dan saya lakukan tugas saya sebagai ketua jurulatih," ujarnya.

Dalam perlawanan itu, pelawat bangkit ketinggalan 1-3 untuk mengikat keputusan seri 3-3 di minit akhir perlawanan.

Bagi Popov keputusan ini lebih daripada cukup dan bangga dengan semangat juang tinggi dipamerkan pemainnya.

"Falsafah saya mudah. Saya dan pasukan tidak akan sesekali bermain secara bertahan. Kami akan terus menyerang dan inilah hasil yang kami dapat.

"Kalau kami mengamalkan corak bertahan pastinya keputusan malam ini berbeza. Apa pun saya amat berterima kasih kepada pemain yang mempunyai semangat juang yang tinggi dan berjuang sehingga minit-minit akhir," katanya.

--- SINAR HARIAN