Showing posts with label Stadium Sultan Muhammad Ke-IV. Show all posts
Showing posts with label Stadium Sultan Muhammad Ke-IV. Show all posts

Friday, February 6, 2015

FAM Puas Hati Dengan Kerja Baik Pulih Padang Stadium Sultan Muhammad IV


KOTA BAHARU, 4 Feb (Bernama) -- Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berpuas hati dengan keadaan padang di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di sini, selepas terjejas akibat banjir besar yang melanda Kelantan Disember lepas.

Anggota Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, Zulkifly Alias berkata keadaan padang di stadium berkenaan kini hanya tinggal lima peratus yang perlu diperbaiki.

"Pihak Perbadanan Stadium Kelantan (PSK) dan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) telah menjalankan tugas yang baik untuk membaik pulih stadium yang rosak, saya bagi pihak JKPT berpuas hati dengan kerja baik pulih yang dilakukan.

"Kalau tengok cuma ada sedikit yang perlu diperbaiki dan saya harap dalam masa seminggu padang itu akan bertambah baik seterusnya dapat digunakan," katanya kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan di stadium berkenaan, malam tadi.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Venue, Acara dan Protokol Kafa Datuk Abd Halim Ahmad.

Zulkifly berkata keadaan lampu di stadium berkenaan juga menepati kehendak yang telah ditetapkan oleh FAM.

"Kita dapati keadaan lampu di stadium juga amat baik dan kawasan tengah padang semakin baik, ia telah kembali seperti sedia kala," katanya.

Sementara itu, Abd Halim berkata pihaknya berharap kerja baik pulih dapat disiapkan awal bagi membolehkan perlawanan Liga Super dapat diadakan di stadium itu.

"Kita rasa gembira dengan hasil pemeriksaan FAM, cuma lima peratus yang perlu dipertingkatkan lagi dan dengan keadaan ini saya yakin pertandingan dapat diadakan di stadium ini, rakyat Kelantan akan dapat tengok Liga seperti tahun sebelumnya," katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Perbadanan Stadium Kelantan (PSK) Azi Rahimee Mohamed berkata kerja membaik pulih padang sedang dijalankan dan stadium berkenaan boleh digunakan pada 14 Feb ini.

Pada 14 Feb, pasukan Kelantan dijadual menentang Lions XII dalam perlawanan Liga Super.

-- BERNAMA

Friday, December 28, 2012

Tujuh Stadium Dibenar Anjur Perlawanan Liga Malaysia Waktu Malam - Hamidin


PETALING JAYA, 27 Dis (Bernama) -- Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi lampu hijau kepada tujuh buah stadium untuk menganjurkan perlawanan Liga Malaysia pada waktu malam selepas didapati mematuhi peraturan kecerahan 1,000 lux untuk lampu limpah seperti yang ditetapkan.

Tujuh stadium berkenaan ialah Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kelantan; Stadium Shah Alam, Selangor; Stadium Tuanku Abdul Rahman, Negeri Sembilan; Stadium Darul Makmur, Pahang; Stadium Negeri Sarawak; Stadium Darul Aman, Kedah dan Stadium Jalan Besar, Singapura.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata selain di tujuh stadium berkenaan, perlawanan perlu diadakan pada sebelah petang.

"Kita membenarkan pasukan Perak untuk bermain di Stadium Tentera Laut Diraja Malaysia di Lumut pada waktu petang ekoran Stadium Perak ditutup untuk kerja-kerja penambahan fasiliti.

"Kita akan melaksanakan pemeriksaan di stadium yang berhasrat untuk beraksi pada waktu malam sekiranya mereka mematuhi peraturan kecerahan 1,000 lux, selepas melalui proses penambahbaikan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat JKPT di Wisma FAM di sini hari Khamis.

--BERNAMA