Showing posts with label Berita Dari FAM. Show all posts
Showing posts with label Berita Dari FAM. Show all posts

Friday, February 6, 2015

FAM Puas Hati Dengan Kerja Baik Pulih Padang Stadium Sultan Muhammad IV


KOTA BAHARU, 4 Feb (Bernama) -- Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berpuas hati dengan keadaan padang di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di sini, selepas terjejas akibat banjir besar yang melanda Kelantan Disember lepas.

Anggota Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, Zulkifly Alias berkata keadaan padang di stadium berkenaan kini hanya tinggal lima peratus yang perlu diperbaiki.

"Pihak Perbadanan Stadium Kelantan (PSK) dan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) telah menjalankan tugas yang baik untuk membaik pulih stadium yang rosak, saya bagi pihak JKPT berpuas hati dengan kerja baik pulih yang dilakukan.

"Kalau tengok cuma ada sedikit yang perlu diperbaiki dan saya harap dalam masa seminggu padang itu akan bertambah baik seterusnya dapat digunakan," katanya kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan di stadium berkenaan, malam tadi.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Venue, Acara dan Protokol Kafa Datuk Abd Halim Ahmad.

Zulkifly berkata keadaan lampu di stadium berkenaan juga menepati kehendak yang telah ditetapkan oleh FAM.

"Kita dapati keadaan lampu di stadium juga amat baik dan kawasan tengah padang semakin baik, ia telah kembali seperti sedia kala," katanya.

Sementara itu, Abd Halim berkata pihaknya berharap kerja baik pulih dapat disiapkan awal bagi membolehkan perlawanan Liga Super dapat diadakan di stadium itu.

"Kita rasa gembira dengan hasil pemeriksaan FAM, cuma lima peratus yang perlu dipertingkatkan lagi dan dengan keadaan ini saya yakin pertandingan dapat diadakan di stadium ini, rakyat Kelantan akan dapat tengok Liga seperti tahun sebelumnya," katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Perbadanan Stadium Kelantan (PSK) Azi Rahimee Mohamed berkata kerja membaik pulih padang sedang dijalankan dan stadium berkenaan boleh digunakan pada 14 Feb ini.

Pada 14 Feb, pasukan Kelantan dijadual menentang Lions XII dalam perlawanan Liga Super.

-- BERNAMA

Monday, December 2, 2013

Kes Mohd Nazri, Norfarhan: FAM Beri Peluang Selesai Cara Baik

SHAH ALAM, 1 Dis (Bernama) -- Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi peluang kepada pihak yang terbabit dalam kes pelanggaran kontrak melibatkan pemain pertahanan Mohd Nazri Ahmad dan pemain sayap Norfarhan Muhammad untuk berbincang dan menyelesaikan perkara itu secara baik.

Setiausaha Agung badan itu Datuk Hamidin Mohd Amin berkata jika kes itu tidak dapat diselesaikan, maka ia akan dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Status FAM yang dipengerusikan Datuk Takiyuddin Hassan pada 12 Dis ini.

"Jawatankuasa akan mendapatkan segala bukti untuk memudahkan proses perbincangan mereka nanti.

"Pemain yang didapati menandatangani lebih daripada satu kontrak dengan mana-mana pasukan boleh digantung daripada aktiviti bola sepak dan didenda maksimum," katanya kepada pemberita pada majlis taklimat mengenai Liga Malaysia 2014 di sini Ahad.

Katanya setakat ini FAM hanya menerima aduan dua kes tersebut yang melibatkan pemain Johor Darul Takzim (JDT) musim lalu Mohd Nazri yang disenaraikan dalam barisan pasukan Kelantan baru-baru ini serta pemain Kelantan musim lepas Norfarhan yang dilaporkan telah terlebih dahulu menandatangani kontrak dengan Terengganu.

Ditanya sama ada para pemain jelas dengan peraturan yang ditetapkan FAM, Hamidin berkata semua peraturan akan dimaklumkan kepada persatuan negeri atau kelab untuk disebarkan kepada pasukan mereka.

"Peraturan kita sudah jelas. Persatuan perlu beri taklimat kepada pasukan tetapi saya perlu jelaskan. (Perkara) ini merupakan satu fenomena baru dalam tempoh 10 hingga 15 tahun ini," katanya sambil menambah pemain kini cenderung untuk menandatangani kontrak dengan pasukan lain secara diam-diam.

-- BERNAMA