Showing posts with label Mohd Nazri Ahmad. Show all posts
Showing posts with label Mohd Nazri Ahmad. Show all posts

Monday, May 16, 2016

FMLLP Perlu Ingat Siapa Pemegang Taruh Utama Sebelum Buat Tindakan - Presiden KAFA


KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) -- Pihak Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) perlu berfikir secara mendalam sebelum membuat sebarang kenyataan atau tindakan terhadap mana-mana pasukan bola sepak, kata presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Anuar Musa.

"Saya mengalu-alukan mereka ambil tindakan jika mereka rasa itu tindakan betul dan wajar," katanya mengulas cadangan ketua pegawai eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam yang meminta Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyingkir pasukan Kelantan ke Liga Perdana atau disingkir terus daripada Liga Malaysia berikutan isu kegagalan menjelaskan tunggakan gaji kepada lima bekas pemain mereka.

Pada 3 Mei lepas, Kevin mencadangkan kepada badan induk itu untuk melakukan pemotongan mata kepada KAFA sekiranya mereka gagal menjelaskan tunggakan gaji kepada bekas pemainnya sebelum 31 Mei ini.

FMLLP ialah entiti swasta yang menguruskan Liga Malaysia bermula musim ini.

Difahamkan, lima bekas pemain Kelantan yang belum menerima tunggakan gaji ialah Ahmad Fakri Saarani, Amar Rohidan, Muhammad Nazri Ahmad, Amiridzwan Taj Tajudin dan Mohd Fitri Omar yang menamatkan kontrak mereka bersama KAFA untuk menyertai pasukan lain musim ini.

"Saya selalu nyatakan inilah masalah dengan bola sepak Malaysia. Mereka terlalu fikirkan soal hendak ambil tindakan. Mereka terlupa pasukan itu adalah pemegang taruh.

"Menghukum pasukan bukan sikap terbaik. Mereka perlu ingat FAM tiada apa-apa, kami sebagai pasukan yang melabur. Secara kolektif, 12 pasukan di Malaysia melabur hampir setengah bilion setahun.

"...Tolong jangan lupa bahawa kami adalah pemegang taruh. Tanpa pasukan-pasukan ini, FAM ... apa lagi FMLLP, tiada apa-apa. Mereka perlu bekerja untuk kami. Mereka perlu bawa bola sepak ke peringkat lebih tinggi menerusi etika yang terbaik ... bagi saya, ini merupakan 'rompakan' secara terang-terangan apabila anda ambil RM70 juta dan anda berikan kami 'secotet' dan anda mahu kami cari dan keluarkan wang dan pada masa sama perlu cemerlang dalam pertandingan," kata Annuar secara sinis.

Mengambil contoh pengurusan penganjuran liga bola sepak Eropah, beliau berkata soal kewangan semua kelab atau pasukan yang terlibat diuruskan secara 'pembiayaan yang adil'.

"Saya sudah memperkatakan mengenai perkara ini banyak kali tetapi ia tidak dipedulikan ... elemen paling penting untuk memastikan Liga Malaysia pada tahap tertentu adalah bahawa semua pasukan perlu diurus, dibiayai dengan baik dan berada dalam kedudukan baik.

"Ia tidak akan berlaku dengan sendirinya, ia terletak di bawah tanggungjawab persatuan kebangsaan dan juga FMLLP untuk menjaga kebajikan (pasukan-pasukan)," katanya.

Menurut Annuar, pihak FMLLP sepatutnya duduk berbincang dengan KAFA terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan kepada media.

-- BERNAMA

KAFA Tunggu Wang Penajaan Untuk Lunas Gaji Pemain Yang Tertunggak

Datuk Rosmadi Ismail (Gambar Fail) 
 
 
KOTA BAHARU, 15 Mei (Bernama) -- Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) sedang menunggu wang penajaan daripada beberapa penajanya bagi melunaskan tuntutan gaji tertunggak lima pemainnya yang beraksi bersama pasukan itu musim lepas.

Naib Presiden KAFA Datuk Rosmadi Ismail berkata dalam masa sama, persatuan itu turut mengatur kewangan mereka untuk terus beraksi dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

"Kami berharap sumber (penaja) yang sudah dikenal pasti itu dapat membantu persatuan secepat mungkin dengan jumlah penajaan yang dipersetujui sebelum ini.

"Selain berharap kepada penaja sedia ada, kami masih lagi mencuba dan mencari sumber lain yang bersesuaian bagi membantu kami dari aspek perbelanjaan pasukan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Pada 3 Mei lepas, Ketua Pegawai Eksekutif Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) Kevin Ramalingam mencadangkan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk melakukan pemotongan mata kepada KAFA sekiranya persatuan itu gagal menjelaskan tunggakan gaji kepada bekas pemainnya sebelum 31 Mei ini.

Lima bekas pemain berkenaan yang belum menerima tunggakan gaji ialah Ahmad Fakri Saarani, Amar Rohidan, Muhammad Nazri Ahmad, Amiridzwan Taj Tajudin dan Mohd Fitri Omar yang menamatkan kontrak mereka dengan KAFA untuk menyertai pasukan lain musim ini.

Mengulas lanjut, Rosmadi berkata ketika ini pihaknya amat bergantung kepada penajaan bagi terus menggerakkan persatuan.

Beliau berkata KAFA akan mengemukakan rayuan kepada FAM jika masih gagal menjelaskan tuntutan gaji tertunggak lima pemain terbabit, dan masa sama akan cuba membuat pembayaran mengikut jadual yang telah ditetapkan.

-- BERNAMA

Wednesday, May 4, 2016

FMLLP Cadang FAM Ambil Tindakan Tegas Terhadap KAFA


PETALING JAYA, 3 Mei (Bernama) -- Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) berdepan penyingkiran daripada Liga Malaysia seandainya gagal menjelaskan tunggakan gaji kepada lima bekas pemainnya.

Itu adalah tindakan terakhir yang dicadangkan Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) jika KAFA terus berdegil menyelesaikan isu tunggakan gaji itu.

Sebagai permulaan, Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam berkata pihaknya mencadangkan kepada badan induk itu untuk melakukan pemotongan mata kepada KAFA sekiranya mereka gagal menjelaskan tunggakan gaji kepada bekas pemainnya sebelum 31 Mei ini.

Beliau menegaskan pihaknya tidak boleh mengenakan tindakan ke atas KAFA memandangkan beberapa perkara masih tertakluk di bawah bidang kuasa FAM iaitu gaji pemain, kontrak dan tindakan tatatertib.

FMLLP ialah entiti swasta yang menguruskan Liga Malaysia bermula musim ini.

"Kita harus bekerjasama dengan FAM untuk memberikan maklum balas atau cadangan berhubung tindakan susulan ke atas KAFA.

"Sekiranya mereka (KAFA) masih gagal menjelaskan hutang berkenaan, kita akan cadangkan kepada FAM agar pasukan terlibat diturunkan beraksi ke Liga Perdana atau lebih teruk lagi disingkirkan daripada Liga Malaysia," katanya.

Kevin berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Final Piala FA 2016 di Wisma FAM, Kelana Jaya, di sini, hari ini.

"Sekiranya tidak ada tindakan tegas diambil ke atas pasukan yang terlibat, tiada perubahan ketara yang kita boleh saksikan dalam liga kita...Kami (FMLLP) berada di sini untuk membuat pembaharuan (dalam bola sepak Malaysia) tapi pada masa sama, kami turut memerlukan kerjasama daripada pihak lain," tegas Kevin.

Presiden Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM) Izham Ismail dalam kenyataan media hari ini mendakwa lima bekas pemain Kelantan masih belum menerima baki tunggakan gaji mereka yang sepatutnya dijelaskan KAFA pada 15 April lepas.

Beliau turut dipetik sebagai berkata pihaknya telah menghantar surat aduan berhubung perkara berkenaan kepada FAM dan berharap badan induk berkenaan dapat mengambil tindakan susulan terhadap KAFA.

Difahamkan, lima bekas pemain Kelantan yang belum menerima tunggakan gaji adalah Ahmad Fakri Saarani, Amar Rohidan, Muhammad Nazri Ahmad, Amiridzwan Taj Tajudin dan Mohd Fitri Omar yang menamatkan kontrak mereka bersama KAFA untuk menyertai pasukan lain musim ini.

Dalam perkembangan berasingan, Kevin menasihatkan pasukan yang bersaing dalam Liga Malaysia untuk tidak mengharapkan geran semata-mata daripada FMLLP untuk menguruskan skuad mereka.

Jelasnya, pasukan terlibat juga harus mempunyai inisiatif sendiri untuk menjana pendapatan pasukan termasuk mengkomersialkan produk pasukan.

Mengambil contoh pasukan dalam saingan Liga Jepun, Kevin berkata setiap pasukan dalam liga berkenaan hanya diberikan sebanyak empat peratus daripada geran yang sepatutnya diperoleh untuk perbelanjaan skuad berkenaan.

"Sekarang ini, ada pasukan mendakwa pendapatan utama sepatutnya datang daripada Liga (Malaysia) tapi ia tidak benar.

"Beberapa pasukan di negara seperti Jepun dan Korea Selatan tidak mengharapkan geran semata-mata untuk menguruskan pasukan kerana sedar pendapatan daripada liga tidak mencukupi,"tegas Kevin.

-- BERNAMA

Monday, January 6, 2014

Gandingan Nwaneri, Nik Shahrul mantapkan TRW

31 Disember 2013

KOTA BHARU - Pemain baharu Kelantan yang bakal beraksi di posisi pertahanan, Nazri Ahmad, yakin gandingan beliau bersama Obinna Nwaneri dan Nik Shahrul Azim Ab Halim akan memantapkan jentera pertahanan The Red Warriors dalam mengharungi saingan Liga Malaysia musim depan.
  
Nazri, 23, berkata beliau kini makin serasi dengan pemain lain, terutama selepas beberapa siri aksi persahabatan pramusim dan latihan kendalian jurulatih Steve Darby.
  
"Nwaneri dan Nik Shahrul merupakan pemain senior dalam pasukan sekali gus tonggak utama di barisan pertahanan, dan saya yakin mampu membentuk kombinasi yang ideal antara kami bertiga.
  
"Sebagai pemain baharu untuk Kelantan, saya akui masih memerlukan masa untuk mendapatkan keserasian dengan pemain lain namun yakin ia mampu diatasi hasil latihan dan beberapa siri perlawanan persahabatan," katanya kepada Bernama hari ini.
  
Bekas pemain pertahanan Kelab Johor Darul Takzim (Johor DT) itu berkata beliau akan memberi persembahan terbaik ketika perlawanan berlangsung.

Ketika ditanya persaingan yang mungkin berlaku untuk meraih tempat dalam kesebelasan utama pasukan, Nazri berkata perkara itu tidak menjadi masalah kepadanya dan menganggap ia sebagai sesuatu yang sihat.
  
"Bagi saya, semua pemain Kelantan musim depan mempunyai kualiti masing-masing.
  
"Walaupun mungkin ada persaingan merebut tempat dalam skuad utama namun saya menganggap persaingan itu sebagai perkara yang positif buat pasukan.
  
"Selain itu, jurulatih juga mempunyai banyak pilihan untuk menukar pemain kerana kesemuanya dapat bermain dengan baik. Saya yakin, dengan pemain yang ada, kami boleh melakukan sesuatu untuk Kelantan pada musim depan," katanya. - Bernama

Monday, December 2, 2013

Kes Mohd Nazri, Norfarhan: FAM Beri Peluang Selesai Cara Baik

SHAH ALAM, 1 Dis (Bernama) -- Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi peluang kepada pihak yang terbabit dalam kes pelanggaran kontrak melibatkan pemain pertahanan Mohd Nazri Ahmad dan pemain sayap Norfarhan Muhammad untuk berbincang dan menyelesaikan perkara itu secara baik.

Setiausaha Agung badan itu Datuk Hamidin Mohd Amin berkata jika kes itu tidak dapat diselesaikan, maka ia akan dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Status FAM yang dipengerusikan Datuk Takiyuddin Hassan pada 12 Dis ini.

"Jawatankuasa akan mendapatkan segala bukti untuk memudahkan proses perbincangan mereka nanti.

"Pemain yang didapati menandatangani lebih daripada satu kontrak dengan mana-mana pasukan boleh digantung daripada aktiviti bola sepak dan didenda maksimum," katanya kepada pemberita pada majlis taklimat mengenai Liga Malaysia 2014 di sini Ahad.

Katanya setakat ini FAM hanya menerima aduan dua kes tersebut yang melibatkan pemain Johor Darul Takzim (JDT) musim lalu Mohd Nazri yang disenaraikan dalam barisan pasukan Kelantan baru-baru ini serta pemain Kelantan musim lepas Norfarhan yang dilaporkan telah terlebih dahulu menandatangani kontrak dengan Terengganu.

Ditanya sama ada para pemain jelas dengan peraturan yang ditetapkan FAM, Hamidin berkata semua peraturan akan dimaklumkan kepada persatuan negeri atau kelab untuk disebarkan kepada pasukan mereka.

"Peraturan kita sudah jelas. Persatuan perlu beri taklimat kepada pasukan tetapi saya perlu jelaskan. (Perkara) ini merupakan satu fenomena baru dalam tempoh 10 hingga 15 tahun ini," katanya sambil menambah pemain kini cenderung untuk menandatangani kontrak dengan pasukan lain secara diam-diam.

-- BERNAMA

Friday, November 29, 2013

Bola Sepak: Annuar Dakwa Kontrak Mohd Nazri Bersama Kelantan Sah

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa mendakwa status seseorang pemain bersama pasukan lain hanya sah selepas pemain berkenaan menandatangani kontrak yang lengkap selain menurunkan tandatangan di setiap muka surat bersama pasukan yang ingin diwakilinya.

Mengambil contoh Kafa, Annuar berkata pihaknya sudah mengalami perkara berkenaan sebanyak beberapa kali dan peraturan berkenaan adalah jelas.

"MoU (Memorandum Persefahaman) atas menurun tandatangan atas sehelai kertas tidak diterima pakai... yang terpenting akhirnya pemain itu sendiri berhak memilih dengan pasukan mana mereka memilih untuk beraksi.

"Dalam kes ini amatlah jelas (Mohd) Nazri Ahmad, (Mohd) Nazrin Nawi, Norfarhan (Muhammad), Hai-O (Hairuddin Omar) dan lain-lain akan beraksi dengan pasukan pilihan masing masing," katanya menerusi laman facebook beliau, Rabu.

Annuar berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor Datuk Abdul Mokhtar Ahmad yang disiarkan media hari ini, dengan mendakwa bekas pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Mohd Nazri Ahmad sudah menandatangani kontrak selama dua tahun untuk menyertai skuad Gergasi Merah bermula musim depan.

Mohd Nazri yang beraksi di posisi pertahanan merupakan antara lapan pemain baharu Kelantan yang diperkenalkan Annuar pada satu majlis pengenalan skuad The Red Warriors, semalam untuk menghadapi saingan Liga Malaysia 2014.

Penyerang JDT, Mohd Safee Sali sebelum ini dilaporkan menarik balik semula keputusannya untuk menyertai Selangor, musim depan walaupun dikatakan sudah mendapat bayaran pendahuluan daripada FAS.

Insiden itu bagaimanapun dikatakan selesai memandangkan pengurusan JDT bersetuju untuk membuat bayaran pampasan kepada FAS.



-- BERNAMA