Showing posts with label Isu Tunggakan Gaji Pemain. Show all posts
Showing posts with label Isu Tunggakan Gaji Pemain. Show all posts

Monday, May 16, 2016

FMLLP Perlu Ingat Siapa Pemegang Taruh Utama Sebelum Buat Tindakan - Presiden KAFA


KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) -- Pihak Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) perlu berfikir secara mendalam sebelum membuat sebarang kenyataan atau tindakan terhadap mana-mana pasukan bola sepak, kata presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Anuar Musa.

"Saya mengalu-alukan mereka ambil tindakan jika mereka rasa itu tindakan betul dan wajar," katanya mengulas cadangan ketua pegawai eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam yang meminta Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyingkir pasukan Kelantan ke Liga Perdana atau disingkir terus daripada Liga Malaysia berikutan isu kegagalan menjelaskan tunggakan gaji kepada lima bekas pemain mereka.

Pada 3 Mei lepas, Kevin mencadangkan kepada badan induk itu untuk melakukan pemotongan mata kepada KAFA sekiranya mereka gagal menjelaskan tunggakan gaji kepada bekas pemainnya sebelum 31 Mei ini.

FMLLP ialah entiti swasta yang menguruskan Liga Malaysia bermula musim ini.

Difahamkan, lima bekas pemain Kelantan yang belum menerima tunggakan gaji ialah Ahmad Fakri Saarani, Amar Rohidan, Muhammad Nazri Ahmad, Amiridzwan Taj Tajudin dan Mohd Fitri Omar yang menamatkan kontrak mereka bersama KAFA untuk menyertai pasukan lain musim ini.

"Saya selalu nyatakan inilah masalah dengan bola sepak Malaysia. Mereka terlalu fikirkan soal hendak ambil tindakan. Mereka terlupa pasukan itu adalah pemegang taruh.

"Menghukum pasukan bukan sikap terbaik. Mereka perlu ingat FAM tiada apa-apa, kami sebagai pasukan yang melabur. Secara kolektif, 12 pasukan di Malaysia melabur hampir setengah bilion setahun.

"...Tolong jangan lupa bahawa kami adalah pemegang taruh. Tanpa pasukan-pasukan ini, FAM ... apa lagi FMLLP, tiada apa-apa. Mereka perlu bekerja untuk kami. Mereka perlu bawa bola sepak ke peringkat lebih tinggi menerusi etika yang terbaik ... bagi saya, ini merupakan 'rompakan' secara terang-terangan apabila anda ambil RM70 juta dan anda berikan kami 'secotet' dan anda mahu kami cari dan keluarkan wang dan pada masa sama perlu cemerlang dalam pertandingan," kata Annuar secara sinis.

Mengambil contoh pengurusan penganjuran liga bola sepak Eropah, beliau berkata soal kewangan semua kelab atau pasukan yang terlibat diuruskan secara 'pembiayaan yang adil'.

"Saya sudah memperkatakan mengenai perkara ini banyak kali tetapi ia tidak dipedulikan ... elemen paling penting untuk memastikan Liga Malaysia pada tahap tertentu adalah bahawa semua pasukan perlu diurus, dibiayai dengan baik dan berada dalam kedudukan baik.

"Ia tidak akan berlaku dengan sendirinya, ia terletak di bawah tanggungjawab persatuan kebangsaan dan juga FMLLP untuk menjaga kebajikan (pasukan-pasukan)," katanya.

Menurut Annuar, pihak FMLLP sepatutnya duduk berbincang dengan KAFA terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan kepada media.

-- BERNAMA

KAFA Tunggu Wang Penajaan Untuk Lunas Gaji Pemain Yang Tertunggak

Datuk Rosmadi Ismail (Gambar Fail) 
 
 
KOTA BAHARU, 15 Mei (Bernama) -- Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) sedang menunggu wang penajaan daripada beberapa penajanya bagi melunaskan tuntutan gaji tertunggak lima pemainnya yang beraksi bersama pasukan itu musim lepas.

Naib Presiden KAFA Datuk Rosmadi Ismail berkata dalam masa sama, persatuan itu turut mengatur kewangan mereka untuk terus beraksi dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

"Kami berharap sumber (penaja) yang sudah dikenal pasti itu dapat membantu persatuan secepat mungkin dengan jumlah penajaan yang dipersetujui sebelum ini.

"Selain berharap kepada penaja sedia ada, kami masih lagi mencuba dan mencari sumber lain yang bersesuaian bagi membantu kami dari aspek perbelanjaan pasukan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Pada 3 Mei lepas, Ketua Pegawai Eksekutif Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) Kevin Ramalingam mencadangkan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk melakukan pemotongan mata kepada KAFA sekiranya persatuan itu gagal menjelaskan tunggakan gaji kepada bekas pemainnya sebelum 31 Mei ini.

Lima bekas pemain berkenaan yang belum menerima tunggakan gaji ialah Ahmad Fakri Saarani, Amar Rohidan, Muhammad Nazri Ahmad, Amiridzwan Taj Tajudin dan Mohd Fitri Omar yang menamatkan kontrak mereka dengan KAFA untuk menyertai pasukan lain musim ini.

Mengulas lanjut, Rosmadi berkata ketika ini pihaknya amat bergantung kepada penajaan bagi terus menggerakkan persatuan.

Beliau berkata KAFA akan mengemukakan rayuan kepada FAM jika masih gagal menjelaskan tuntutan gaji tertunggak lima pemain terbabit, dan masa sama akan cuba membuat pembayaran mengikut jadual yang telah ditetapkan.

-- BERNAMA

Thursday, May 5, 2016

Jangan Hukum Persatuan Bola Sepak Bermasalah - KAFA



KOTA BAHARU, 4 Mei (Bernama) -- Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) meminta agar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) tidak menghukum persatuan bola sepak negeri yang menghadapi masalah termasuk soal kewangan.

Setiausaha Agung KAFA, Datuk Ismail Md Noor berkata dua badan induk bola sepak tersebut perlu membuang sikap suka menghukum.

"Harap FAM dan FMLLP membantu persatuan yang bermasalah dalam menguruskan pelbagai aspek dalam memastikan pembangunan sukan bola sepak negeri berkembang dan maju," katanya kepada pemberita.

Beliau diminta mengulas cadangan FMLLP supaya FAM memotong mata perlawanan pasukan Kelantan atau ia disingkirkan ke Liga Perdana sekiranya KAFA tidak menjelaskan hutang tunggakan gaji lima bekas pemainnya sebelum akhir bulan ini.

Cadangan tersebut disuarakan Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam semalam.

Ismail berkata tindakan menghukum bukan sahaja memberi kesan kepada pembangunan bola sepak Kelantan dan persatuan yang mempunyai masalah, malah ia akan memberikan kesan cukup besar kepada pembangunan bola sepak Malaysia.

Beliau berkata pihaknya sudah menghantar surat permohonan kepada FAM dan salinannya kepada FMLLP bagi penangguhan bayaran tunggakan gaji tersebut.

"Kami (KAFA) bukan tidak mahu bayar, cuma kita terlewat bayar yang mengakibatkan bayaran itu tertangguh. Bila kita ada duit, kita akan bayar, kita akan teruskan bayaran tunggakannya," jelasnya.



-- BERNAMA

Wednesday, May 4, 2016

FMLLP Cadang FAM Ambil Tindakan Tegas Terhadap KAFA


PETALING JAYA, 3 Mei (Bernama) -- Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) berdepan penyingkiran daripada Liga Malaysia seandainya gagal menjelaskan tunggakan gaji kepada lima bekas pemainnya.

Itu adalah tindakan terakhir yang dicadangkan Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) jika KAFA terus berdegil menyelesaikan isu tunggakan gaji itu.

Sebagai permulaan, Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam berkata pihaknya mencadangkan kepada badan induk itu untuk melakukan pemotongan mata kepada KAFA sekiranya mereka gagal menjelaskan tunggakan gaji kepada bekas pemainnya sebelum 31 Mei ini.

Beliau menegaskan pihaknya tidak boleh mengenakan tindakan ke atas KAFA memandangkan beberapa perkara masih tertakluk di bawah bidang kuasa FAM iaitu gaji pemain, kontrak dan tindakan tatatertib.

FMLLP ialah entiti swasta yang menguruskan Liga Malaysia bermula musim ini.

"Kita harus bekerjasama dengan FAM untuk memberikan maklum balas atau cadangan berhubung tindakan susulan ke atas KAFA.

"Sekiranya mereka (KAFA) masih gagal menjelaskan hutang berkenaan, kita akan cadangkan kepada FAM agar pasukan terlibat diturunkan beraksi ke Liga Perdana atau lebih teruk lagi disingkirkan daripada Liga Malaysia," katanya.

Kevin berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Final Piala FA 2016 di Wisma FAM, Kelana Jaya, di sini, hari ini.

"Sekiranya tidak ada tindakan tegas diambil ke atas pasukan yang terlibat, tiada perubahan ketara yang kita boleh saksikan dalam liga kita...Kami (FMLLP) berada di sini untuk membuat pembaharuan (dalam bola sepak Malaysia) tapi pada masa sama, kami turut memerlukan kerjasama daripada pihak lain," tegas Kevin.

Presiden Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM) Izham Ismail dalam kenyataan media hari ini mendakwa lima bekas pemain Kelantan masih belum menerima baki tunggakan gaji mereka yang sepatutnya dijelaskan KAFA pada 15 April lepas.

Beliau turut dipetik sebagai berkata pihaknya telah menghantar surat aduan berhubung perkara berkenaan kepada FAM dan berharap badan induk berkenaan dapat mengambil tindakan susulan terhadap KAFA.

Difahamkan, lima bekas pemain Kelantan yang belum menerima tunggakan gaji adalah Ahmad Fakri Saarani, Amar Rohidan, Muhammad Nazri Ahmad, Amiridzwan Taj Tajudin dan Mohd Fitri Omar yang menamatkan kontrak mereka bersama KAFA untuk menyertai pasukan lain musim ini.

Dalam perkembangan berasingan, Kevin menasihatkan pasukan yang bersaing dalam Liga Malaysia untuk tidak mengharapkan geran semata-mata daripada FMLLP untuk menguruskan skuad mereka.

Jelasnya, pasukan terlibat juga harus mempunyai inisiatif sendiri untuk menjana pendapatan pasukan termasuk mengkomersialkan produk pasukan.

Mengambil contoh pasukan dalam saingan Liga Jepun, Kevin berkata setiap pasukan dalam liga berkenaan hanya diberikan sebanyak empat peratus daripada geran yang sepatutnya diperoleh untuk perbelanjaan skuad berkenaan.

"Sekarang ini, ada pasukan mendakwa pendapatan utama sepatutnya datang daripada Liga (Malaysia) tapi ia tidak benar.

"Beberapa pasukan di negara seperti Jepun dan Korea Selatan tidak mengharapkan geran semata-mata untuk menguruskan pasukan kerana sedar pendapatan daripada liga tidak mencukupi,"tegas Kevin.

-- BERNAMA