Wednesday, December 28, 2011

Kritik secara profesional: Piya

MOHD FAHMI ISMAIL & NORASHIKIN LEMAN
28 Disember 2011


KAPTEN The Red Warriors, Badri Radzi berharap laporan media negara ini lebih bersikap profesional dan adil seandainya pasukan tewas atau tidak mempamerkan prestasi terbaik dalam sebarang perlawa-nan Liga Malaysia 2012.

Sebaliknya, Badri yang lebih dikenali sebagai Piya berharap pihak media menyampaikan kritikan berunsur nasihat dan tidak mengkritik keterlaluan.

“Sudah menjadi adat setiap perlawanan,­ bila menang sahaja pujian melambung diberikan dan laporan dipaparkan indah belaka. Tetapi, jika pasukan kalah teruk atau beraksi buruk mulalah tulisan berbaur negatif keterlaluan dilemparkan terhadap pemain dan pasukan.

“Pada saya, tidak salah mengkritik pasukan cuma biarlah secara membina kerana kami ada maruah yang perlu dihormati,” katanya kepada Sinar Harian di Kumpulan Media Karangkraf, kelmarin.

Menurut Piya, mereka sudah melakukan yang terbaik ketika beraksi di padang dan berusaha menghiburkan hati penyokong yang hadir memberi sokongan di stadium.

Sementara itu, ketika diminta mengu­las sasaran empat piala Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), termasuk memenangi liga tanpa mencatat kekalahan kempen Liga Super, Piya enggan berjanji mengenai perkara berkenaan.

“Sasaran untuk mencipta rekod tanpa kalah saingan liga agak sukar, namun inilah cabaran yang perlu ditempuhi setiap pemain Kelantan.

“Ditambah kemasukan pasukan dari Singapura, Lions X11 pasti menjadikan saingan Liga Super musim depan lebih menarik dan menjanjikan pelbagai kejutan.

“Mengenai Lions X11, kami amat teruja untuk berdepan mereka kerana difahamkan terdapat beberapa pemain kebangsaan Singapura yang berada dalam skuad itu,” katanya.

Piya juga mempunyai matlamat peribadi menjelang saingan musim depan dengan bertekad, mengekalkan gelaran liga dan juga mendakap trofi Piala FA yang masih belum dimenangi sehingga kini.

Musim ini, skuad Kelantan dipimpin Peter Butler selepas pengendali terdahulu, Datuk M Karathu mengambil keputusan untuk tidak mengemudi juara Piala Malaysia 2010 itu.

--- SINAR HARIAN