KOTA BHARU - Pengendali Kelantan, Peter Bulter mengakui sudah
mempunyai perancangan terbaik buat pasukannya menghadapi saingan Liga
Malaysia yang akan bermula pada 7 Januari ini.
Tanpa berselindung, jurulatih kelahiran Halifax, England itu berkata,
tempoh seminggu sebelum pertemuan Piala Sumbangsih dengan Negeri
Sembilan akan digunakan sebaik mungkin untuk memperkemaskan lagi jentera
pasukan bagi memastikan kejuaraan tersebut terus kekal bersama The Red Warriors (TRW).
Menurutnya, selepas mengharungi jadual perlawanan persahabatan yang
padat, semua pemain TRW diberi cuti selama dua hari sebelum menyambung
semula sesi latihan, Selasa ini.
"Saya mahu pemain menggunakan waktu rehat ini sebaik mungkin untuk
mengembalikan semula kecergasan mereka sebelum pertemuan tersebut.
Bertemu dengan Negeri Sembilan dalam aksi Sumbangsih ini, saya akui
sudah menemui ramuan terbaik bagi menghadapi perlawanan tersebut.
"Begitu juga dengan pertemuan menentang wakil Singapura iaitu Lions
XII. Saya berkesempatan melihat aksi pasukan itu baru-baru ini dan
sedikit sebanyak mengetahui kelemahan dan kekuatan yang ada pada Lions
XII," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas aksi
persahabatan pra musim terakhir bertemu juara Piala FA 2011, Terengganu
di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini semalam.
Bagaimanapun perlawanan tersebut terpaksa dihentikan pada minit ke-35
akibat hujan lebat yang menyaksikan kedudukan terikat tanpa jaringan.
Dalam pada itu, Bulter memberitahu dia gembira dengan apa yang telah
dipamerkan oleh pemainnya sepanjang aksi persahabatan pra musim
baru-baru ini.
"Saya berpuas hati dengan apa yang telah ditunjukkan semua pemain.
Mereka memberi komitmen yang tinggi sepanjang perlawanan pra musim,"
ujarnya.
Sentuhan dan kepakaran yang dimiliki oleh bekas pemain West Ham
United itu pasti ditagih oleh peminat setia TRW untuk meneruskan legasi
kejayaan yang ditinggalkan oleh Datuk M. Karathu dan B. Sathianathan.
--- UTUSAN MALAYSIA