Monday, July 16, 2012

Fenomena Apex, inspirasi bola sepak

SITI NURSYAHIDAH ABU BAKAR
16 Julai 2012
Fenomena Apex, inspirasi bola sepak
Apex
Fenomena Apex, inspirasi bola sepak
Dipilih menjadi Hero Bola Canon di Karnival Sinar Eurock Soccer
Fenomena Apex, inspirasi bola sepak
Khairul Fahmi (kiri) bersama pasukannya, The Red Warriors.
 
Suatu ketika dahulu, kita pernah berbangga dengan pencapaian pemain bola sepak legenda iaitu Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari yang telah mengharumkan Malaysia di mata dunia.

Selepas zaman kegemilangan pemain yang mendapat jolokan Super Mokh itu, sukan bola sepak semakin suram.

Bagaimanapun, kebelakangan ini sukan nombor satu negara itu kembali mendapat tempat dalam  kalangan rakyat.

Apatah lagi, dengan kemunculan ramai pemain bola sepak muda berbakat besar seakan-akan memberi nafas baru dalam  arena bola sepak tempatan.

Salah seorang pemain muda yang mencuri tumpuan ialah penjaga gol kebangsaan dan Kelantan, Khairul Fahmi  Che Mat.

Berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang, pemuda yang lebih mesra dipanggil Apex ini mula dikenali selepas memberi aksi cemerlang dalam Piala AFF Suzuki 2010.

Kehebatan Apex menjaga gawang daripada dibolosi lawan semakin terserlah apabila berjaya membantu Malaysia memperoleh pingat emas dalam Sukan Sea 2011.

Pernah diiktiraf sebagai Penjaga Gol Terbaik (Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100Plus-FAM 2010 & 2011), mungkin ramai tidak tahu bukan mudah untuk Apex berada di kedudukan sekarang.

Ketika usianya 19 tahun, Apex pernah dibuang daripada skuad bawah 19 tahun Malaysia dan pulang ke Kelantan untuk jadi penjaga gol Pasukan Piala Presiden.

Hanya setelah membuktikan keupayaannya, barulah Apex diserap ke dalam skuad utama pasukan The Red  Warriors.

Tahun 2010 menyaksikan permulaan sinar dalam karier Apex apabila dia yang pada mulanya diletakkan di posisi simpanan, terpilih untuk menyertai kesebelasan utama menentang T-Team.

Khidmat cemerlangnya terus didambakan sehingga ke penghujung Piala Malaysia 2010 yang menyaksikan Kelantan merangkul gelaran juara.

Jelas Apex, kesusahan yang dihadapi di awal karier sebenarnya telah banyak membantunya untuk menjadi pemain yang lebih baik.

“Bagi saya, untuk berjaya dalam sukan bola sepak memerlukan semangat dan kesungguhan yang tinggi selain  daripada minat.

“Walaupun menghadapi kegagalan, jangan sesekali putus asa, sebaliknya jadikan ia sebagai pendorong untuk berjaya pada masa akan datang,” katanya yang tidak menjadikan kejayaan sebagai tiket untuk lupa diri.

Bergelar iko n

BARU berumur 23 tahun, pencapaian Apex yang mencatat pelbagai kejayaan pada usia muda dianggap cukup membanggakan.

Maka, tidak hairanlah sekiranya anak keempat daripada lima beradik ini sering dijadikan idola oleh golongan remaja yang mengaguminya.

Sudah memiliki kelompok peminat sendiri, kejayaan Apex menjadi inspirasi untuk anak-anak muda yang ingin menceburi bidang sukan terutamanya  bola sepak.

Buktinya, Apex menjadi pilihan pembaca Sinar Harian yang menobatkannya sebagai Hero Bola Canon sempena Karnival Sinar Eurock Soccer, yang berlangsung baru-baru ini, mengetepikan 11 pemain hebat lain seperti Safiq Rahim, Badrol Bakhtiar dan Norshahrul Idlan Talaha.

Tidak keterlaluan seandainya Apex diangkat sebagai ikon baru dalam dunia bola sepak.

Saat diajukan perkara itu kepadanya, Apex sedikit terkejut kerana merasakan dirinya masih belum layak memegang
gelaran ikon.

Namun, jelas Apex, dia akan sedaya upaya untuk memenuhi tanggungjawab yang telah diberi kepadanya. “Bagi saya, bergelar ikon merupakan satu tugas berat kerana saya khuatir tidak mampu menggalasnya dengan baik“Bagaimanapun, saya bersyukur jika ada yang menganggap saya sebagai ikon.

Secara tidak langsung, gelaran itu mengingatkan saya untuk sentiasa menjaga tingkah laku sama ada di luar atau di atas padang,” katanya merendah
diri.

Menurut Apex, tidak kira apa saja penilaian atau pengiktirafan orang lain terhadapnya, dia akan menghargainya.

“Pencapaian saya dalam sukan bola sepak banyak dibantu dengan sokongan pelbagai pihak termasuk media. “Saya hargainya dan segala perhatian yang diberikan membuatkan saya semakin bersemangat untuk melakukan yang terbaik,” katanya.

Kontrovers i jejas karier?

APABILA berbicara mengenai jejaka bermata sepet ini, bukan pencapaian cemerlangnya saja yang mendapat tumpuan. Sebagai selebriti yang dikenali ramai, kisah peribadi Apex juga tidak terlepas daripada jadi perbualan hangat.

Pernah dihambat dengan siri kontroversi yang membabitkannya dengan beberapa wanita, sedikit sebanyak kisah tersebut membayangi karier Apex sebagai pemain bola sepak.

Malah, Apex pernah mengeluarkan kenyataan kemungkinan bersara lebih awal, gara-gara berdepan dengan kontroversi yang calarkan reputasinya.

Bagaimanapun, bak kata pepatah, alah bisa tegal biasa. Belajar daripada pengalaman lalu, Apex sudah mula membiasakan diri untuk berdepan depan kontroversi.

Bagi Apex, dia mengamalkan pendekatan mudah dengan tidak melayan sebarang kontroversi yang kadangkala bukan dicipta oleh dirinya.

“Apabila di padang, saya kosongkan fikiran dan memberi fokus sepenuhnya kepada perlawanan. “Ini kerana, saya tidak mahu masalah lain termasuk cerita kontroversi mengganggu gugat tumpuannya di padang sekali gus menjejaskan prestasi saya,” katanya.

Turut membawa nama pasukan yang diwakilinya, Apex mengatakan dia lebih senang seandainya hanya diajukan soalan berkaitan dengan karier.

“Cukuplah saya sekadar berkongsi hal karier, saya tidak mahu kisah peribadi menjadi tumpuan umum. “Bagi mengelakkan kontroversi, saya lebih suka menghabiskan masa di rumah sekiranya tidak terlibat dalam sebarang perlawanan,” katanya.

Ber i pendedaha n

MENYIMPAN hasrat untuk menimba pengalaman bermain dengan kelab luar sekiranya diberi peluang, Apex gembira melihat perkembangan sukan bola sepak tempatan kini.

Menyifatkan ramai remaja di luar sana mempunyai bakat terpendam, Apex berpandangan usaha membangunkan sukan itu perlu bermula daripada peringkat bawah.

“Sekarang pun sudah ada banyak program bola sepak untuk remaja seperti Karnival Sinar Eurock Soccer yang mampu mencungkil bakat mereka.
“Saya berharap aktiviti sebegini dapat diteruskan sebagai pendedahan kepada golongan remaja dalam usaha membangunkan sukan bola sepak tempatan,” katanya.

PROFIL APEX

NAMA : Khairul Fahmi Che Mat
GELARAN: Apex
TARIKH LAHIR : 7 Januari 1989
TEMPAT LAHIR : Kota Bharu, Kelantan
TINGGI : 1.7 meter
KELUARGA: Anak ke-4 daripada 5 beradik
PENDIDIKAN:   - Sekolah Kebangsaan Tapang, Kota Bharu
                        - Sekolah Sukan Bandar Penawar, Johor Bahru
                        - Sekolah Sukan Bukit Jalil
POSISI : Penjaga Gol
NOMBOR JERSI: 19
PENGLIBATAN: 2006-2009 - Pasukan Piala Presiden Kelantan
                         2008-2009 - Harimau Muda
                         2010-2012 - Malaysia Bawah 23
                         2009-kini- Kelantan FA
                         2010-kini - Malaysia
PENCAPAIAN: Kelantan
                       - Piala Malaysia 2010
                       - Piala AFF Suzuki 2010
                       - Sukan Sea 2011
                       - Liga Super 2011
                       - Piala Sumbangsih 2011
                       - Piala FA 2012
                        - Liga Super 2012
ANUGERAH:  - Pemain Muda Terbaik (Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100Plus- FAM 2010
                         - Penjaga Gol Terbaik (Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100Plus-FAM 2010 &  
                          2011)
                          - Atlet Lelaki Berpasukan (Anugerah Astro Arena 2012)
                          - Hero Bola Canon (Karnival Sinar Eurock Soccer 2012)

--- SINAR HARIAN