Tuesday, July 17, 2012

Keita Mandjou tak sabar beraksi

MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD
17 Julai 2012

Pemain import terbaru Kelantan, Keita Mandjou. - foto yob4ever.com
 
PEMAIN import terbaru Kelantan, Keita Mandjou tidak sabar membantu pasukannya apabila turun beraksi dalam perlawanan persahabatan antarabangsa menentang kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Queens Park Ranger (QPR),di Stadium Shah Alam Jumaat ini.

Manjdou yang menjaringkan 16 gol dalam 17 perlawanan ketika beraksi bersama Pune FC dalam Liga India berkata, beliau berjanji akan mempamerkan aksi terbaik apabila turun dalam penampilan pertama bersama Kelantan dalam perlawanan tersebut.

“Saya akan berikan komitmen 110 peratus dalam perlawanan tersebut. Itu janji saya kepada penyokong Kelantan.

Insya-Allah, saya akan berusaha sebaik mungkin membantu Kelantan dalam perlawanan tersebut.

“Saya sudah menyaksikan corak permainan Kelantan ketika bertemu Sarawak tempoh hari dan ia sungguh menguja,” katanya dalam sidang media ringkas Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mengenai pertemuan Kelantan menentang QPR di Kafe The Red Warriors, di sini, semalam.

Mandjou, 33, yang tiba di Kota Bharu sejak seminggu lalu bagaimana pun enggan mendedahkan butiran kontrak yang ditandatanganinya bersama The Red Warriors.

Mandjou berkata, beliau begitu gembira dapat kembali beraksi di Malaysia dan keputusan tersebut dicapai setelah kontraknya bersama kelab Pune FC berakhir sebulan lalu.

“Saya tidak boleh menolak tawaran yang dikemukakan oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa). Saya gembira dapat menyarung jersi Kelantan dan lebih penting dapat kembali beraksi dalam liga di negara ini setelah kali terakhir bermain dengan Perak lima tahun lalu.

“Saya sudah pun turun menjalani latihan di bawah kendalian Bojan Hodak. Saya tidak menghadapi masalah dengan cuaca dan persekitaran di sini. Malah saya boleh menyesuaikan diri dengan pasukan dengan cepat kerana kenal dengan beberapa pemain tempatan seperti Indra Putra (Mahayuddin) dan Norshahrul Idlan (Talaha),” katanya.

Reputasi hebat Mandjou selaku pemenang Kasut Emas selama dua musim berturutturut (2005/06 dan 2006/07) dengan 38 gol dalam Liga Malaysia menjadi pilihan Kelantan bagi menggantikan Onyekachi Nwoha yang ditamatkan kontraknya penghujung Mei lalu.

--- SINAR HARIAN