Saturday, August 4, 2012

Pilih Kelantan tinggalkan Perak

Wartawan Sinar Harian
4 Ogos 2012
Pilih Kelantan tinggalkan Perak
Keita
 
NAMA Keita Mandjou sebenarnya tidak perlu diperkenalkan kepada peminat bola sepak Malaysia. Bekas penyerang import Perak itu harus dikenang selaku pemenang Anugerah Kasut Emas Liga Super Malaysia (MSL) sebanyak dua kali berturut-turut pada musim 2005/06 dan 2006/07.

Jumlah 38 gol dalam tempoh dua musim sepanjang mewakili skuad Seladang membuktikan sentuhan pemain yang pernah menyarung jersi skuad kebangsaan Guinea itu cukup berbisa ketika itu.

Selepas meninggalkan Malaysia bagi mengembangkan karier beliau lima tahun lalu, Keita kini kembali mewarnai kancah Liga Malaysia musim ini dengan memilih menyarung jersi The Red Warriors (TRW) Ia ibarat sirih pulang ke gagang apabila Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) bertindak pantas memancing pemain yang berasal dari Nzérékoré ini meski pun beberapa pasukan lain termasuk Perak juga berusaha untuk mendapatkan pemain tersebut.

Sentuhan Keita amat ditagih oleh Kelantan bagi memperkuatkan jentera serangan mereka terutamanya bagi menghadapi kelab Iraq, Arbil dalam saingan suku akhir kempen Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 18 dan 25 September nanti.

Gembira kembali ke Malaysia

Pemain yang menggantikan Onyekachi Nwoha itu bagaimana pun mengakui kalau bukan kerana tawaran Penasihat Kafa, Tan Sri Annuar Musa, sudah pasti beliau memilih untuk kembali beraksi dengan pasukan lamanya, Perak.

“Saya sayangkan Perak. Saya mempunyai banyak kenangan manis ketika beraksi dengan pasukan tersebut. Salah satunya kerana anak sulung saya dilahirkan di Ipoh. Saya gembira dengan kehidupan di sana lebih-lebih lagi Perak merupakan pasukan pertama bagi saya mengembangkan kerjaya di luar Guinea.

“Saya gembira kembali ke Malaysia. Tawaran yang dikemukakan oleh Kelantan sangat menarik dan membuka ruang kepada saya untuk membuat penampilan semula dalam Liga Malaysia musim depan.

“Saya akui ada tiga pasukan lain termasuk Perak yang menawarkan peluang kepada saya. Selain itu, terdapat juga dua kelab dalam Liga India turut menawarkan kontrak tetapi saya lebih berminat bermain dengan Kelantan,” katanya.

Ikat kontrak setahun setengah

Setelah menamatkan kontrak bersama Pune FC (India) dua bulan lalu, Keita yang menjadi buruan sejak Mac lalu akhirnya menandatangani perjanjian selama setahun setengah untuk beraksi bersama Kelantan.

Pemain yang mempunyai ketinggian 1.83 meter ini tidak melengahkan masa sebaik menjejakkan kaki di Kota Bharu awal bulan ini apabila terus turun menjalani latihan di bawah kendalian Bojan Hodak dalam usaha mengekalkan tahap kecergasan beliau.

“Mengenai kempen Piala Malaysia musim ini, saya tidak pasti sama ada boleh bermain atau tidak. Segala-galanya terserah kepada jurulatih tentukan. Kelantan sudah mempunyai dua pemain import yang bagus sekarang.

“Tetapi sekiranya diberi peluang, saya berjanji akan tampilkan aksi terbaik. Saya tidak ada masalah untuk menyesuaikan diri dengan pasukan ini. Saya kenal dengan beberapa pemain tempatan seperti S Subramaniam, Norshahrul Idlan Talaha, Azlan Ismail dan Indra Putra Mahayuddin,” katanya.

Masih punyai sentuhan berbisa

Kalau dilihat daripada segi umur, mungkin ramai yang sangsi dengan kemampuan pemain yang pernah bermain dalam Liga Bola Sepak Amerika Syarikat (USL) ini. Namun Keita yang hadir dengan reputasi tinggi selaku penjaring terbanyak selama dua musim dalam Liga Malaysia pantas menepis tanggapan tersebut.

“Saya bebas daripada masalah kecederaan dan sebagainya. Jangan congak berapa umur saya. Apa yang peminat boleh nilai, ialah sejauh mana persembahan yang mampu saya berikan nanti.

“Saya muncul selaku penjaring terbanyak bagi kelab Pune FC selama dua musim berturut-turut. Musim pertama saya berjaya menjaringkan 14 gol daripada 20 perlawanan. Sementara musim lalu saya meledak 15 gol dalam 17 perlawanan.

“Saya kini dalam usaha meningkatkan tahap kecergasan saya. Saya berharap penyokong setia Kelantan dapat memberi masa dan peluang kepada saya. Insya Allah, saya akan buktikan,” katanya.

--- SINAR HARIAN