Saturday, August 25, 2012

Apex cedera kemalangan, mungkin terlepas saingan Piala Malaysia malam ini

ADILA SHARINNI WAHID
25 Ogos 2012
Apex cedera kemalangan, mungkin terlepas saingan Piala Malaysia malam ini
Keadaan kereta Audi milik bapa Apex yang rosak di bahagian hadapan sebelah pemandu dalam satu kejadian di Kampung Badak, Bachok, malam kelmarin.
 
[DIKEMAS KINI] KOTA BHARU – Penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat mengalami cedera ringan selepas terbabit kemalangan jalan raya di Kampung Badak, Bachok, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira  jam 11 malam itu, Khairul Fahmi atau Apex dalam perjalanan pulang selepas beraya di rumah saudaranya di Bachok sebelum sebuah kenderaan lain ketika keluar dari simpang jalan.

Beliau yang memandu kereta jenis Audi milik bapanya, Che Mat Hussain itu bagaimanapun hanya cedera ringan di tangan kanan.

“Saya masih terkejut dan tidak menyangka perkara ini boleh berlaku. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana terselamat dan tidak terbabit dengan kecederaan serius,” katanya.

Beliau berkata, laporan polis sudah pun dibuat dan polis sedang menjalankan siasatan berhubung kemalangan itu.

Apex juga berkata, beliau tidak dapat bersama Kelantan berdepan Kedah malam semalam berikutan kecederaan yang dialami ketika bertemu dengan Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah, Terengganu, Rabu lalu.

“Saya terpaksa berehat untuk memulihkan kecederaan ini dan berharap ia tidak berlarutan agar saya dapat beraksi semula membantu Kelantan pada-perlawanan lain yang akan datang,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan pemain pertahanan Kelantan, Daudsu Jamaluddin berdepan detik cemas apabila kereta dipandu terbabas ketika mengelak sebuah motosikal yang membuat pusingan U di Jalan Pengkalan Chepa di sini, Mac lalu.

--- SINAR HARIAN