Friday, January 18, 2013

Tiada layanan istimewa untuk Ghaddar



KOTA BHARU - "Tiada layanan istimewa buat pemain import Felda United, Mohammad Ghaddar.

Itulah reaksi ringkas yang dilontarkan oleh pengendali The Red Warriors, Bojan Hodak menjelang pertemuan pasukannya dengan Felda United dalam aksi Liga Super di Kelana Jaya petang ini.

Menurut Hodak, Ghaddar bukanlah satu ancaman buat pasukannya sehingga memaksanya memberikan kawalan rapi ke atas penyerang Lubnan itu.

"Tiada strategi khusus untuk merantai pergerakan penyerang ini. Saya tak fikir dia boleh mendatangkan masalah kepada kita berbanding Norshahrul Idlan Talaha tempoh hari," katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak akan mengambil mudah perlawanan tersebut dan menghormati keupayaan pasukan berstatus kelab itu.

Ujarnya, barisan pemainnya kini berada pada prestasi terbaik untuk berdepan skuad berkenaan biarpun baru meraih satu kemenangan hasil tiga perlawanan.

"Ia satu perlawanan yang sukar, peluang mungkin 50-50 bagi kedua-dua pasukan untuk menang tetapi saya optimis kita boleh membawa pulang tiga mata ke Kota Bharu," tegasnya.

Dalam perkembangan lain, pengendali kelahiran Croatia itu mengesahkan penyerang importnya, Keita Mandjou terpaksa diketepikan setelah mengalami kecederaan tulang rusuk kiri pada pertemuan menentang Johor Darul Takzim tempoh hari.


--- UTUSAN MALAYSIA