Pertahanan Kelantan, Obinna Nwaneri
(tiga dari kiri) cuba menanduk bola tetapi berjaya dihalang penjaga gol
Johor Darul Takzim, Zulfadli Mohd. pada aksi Piala Malaysia di Stadium
Sultan Muhammad IV, Kota Bharu. Nwaneri tidak dapat beraksi pada
perlawanan akhir menentang Pahang gara-gara menerima dua kad kuning.
KOTA BHARU - Jika Pahang menganggap ketiadaan tonggak pertahanan
kental Kelantan, Obinna Nwaneri akan memudahkan mereka untuk menembusi
benteng lawan pada perlawanan akhir Piala Malaysia, Ahad ini, maka
jangkaan mereka sama sekali silap.
Pertahanan The Red Warriors, Zairul Fitree Ishak menegaskan,
pemain-pemain Tok Gajah sama sekali tidak akan menerima laluan mudah
kerana dia dan rakan sepasukan mampu menampung ketiadaan tonggak
kelahiran Nigeria itu.
Nwaneri, 31, yang terkenal dengan gelaran kereta kebal dan sering
menjadi masalah terbesar buat mana-mana pasukan untuk menembusi benteng
Kelantan, bagaimanapun tidak dapat diturunkan dalam perlawanan di
Stadium Shah Alam nanti gara-gara mengumpul dua kad kuning.
Tegas Zairul, meskipun ketiadaan Nwaneri dirasai, namun dia dan
rakan sepasukan enggan terlalu memikirkan tentang perkara itu dan hanya
mampu memberi tumpuan kepada persiapan menjelang pertemuan dengan
Pahang.
Malah, dia percaya, pengendali Kelantan, Bojan Hodak pasti sudah
mempunyai ramuan terbaik dan mengatur strategi, pemain manakah yang akan
menampung ketiadaan Nwaneri dalam perlawanan itu.
Saya percaya benteng pertahanan Kelantan tetap kukuh walaupun tanpa
kehadiran Nwaneri. Siapa yang akan menggantikan dia bukanlah persoalan
kerana kami sudah lama bersama dan cukup memahami corak permainan
masing-masing.
Harapan saya, pemain yang bakal beraksi pada perlawanan tersebut
termasuklah saya dan rakan-rakan lain perlu memberikan komitmen lebih
100 peratus kerana inilah peluang terbaik kita untuk mempertahankan
kejuaraan Piala Malaysia," ujarnya ketika dihubungi Utusan Malaysia di
sini, semalam.
Zairul turut menamakan dua tonggak Pahang iaitu Mohd. Azamuddin Akil
dan pemain sayap, R. Gopinathan sebagai pemain yang mampu mengundang
masalah kepada The Red Warriors jika diberi terlalu banyak ruang untuk
bergerak.
Katanya, pergerakan kedua-dua pemain ini perlu dikunci sepenuhnya seandainya Kelantan mahu menang dalam perlawanan tersebut.
Gopinathan seorang pemain yang cukup licik dan mampu melakukan
hantaran bahaya ke dalam kotak penalti, manakala Alex (Azamuddin)
seorang penyerang yang berbisa jika diberikan ruang pada perlawanan
tersebut.
Jadi kita tidak boleh mengambil mudah kemampuan Pahang dan keupayaan mereka tetap kita hormati," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Zairul berkata, dia mahu menjadikan
penampilan keempat di pentas final Piala Malaysia tahun ini dengan
menjulang kejuaraan tersebut buat kali ketiga.
Katanya, peluang beraksi di pentas akhir mahu digunakan sebaik
mungkin dengan membawa pulang piala berkenaan ke bumi Kelantan pada
tahun ini.
--- UTUSAN MALAYSIA